Berita

Rapid KL catat sejarah kendali 1.5 juta penumpang sehari

- Diterbit 2 Januari 2025 2:43 PM MYT

RAPID KL berjaya mencatat jumlah penumpang paling tinggi dalam sejarah penubuhannya dengan mengendalikan hampir 1.5 juta penumpang pada 31 Disember 2024.

Menurut Rapid KL, jumlah tersebut meningkat sebanyak 30 peratus berbanding purata harian 2024.

“Jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi ke acara sambutan ambang tahun baharu yang berlangsung di sekitar pusat bandar seperti KLCC, TRX, Lalaport, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway menyumbang kepada peningkatan ini.

“Berdasarkan rekod, jumlah pengguna rel dan bas termasuk perkhidmatan Demand Responsive – Transit (DRT) pada malam ambang tahun baharu masing-masing adalah sebanyak 1.2 juta dan 207,266 penumpang,” ujarnya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, Rapid KL bangga memenuhi keperluan pengguna pada malam tersebut.

“Kelancaran operasi ditunjangi hampir 3,000 kakitangan barisan hadapan RAPID KL yang menjalankan tugas sehingga tamat waktu operasi pada pukul 3 pagi, 1 Januari 2025.

“Jutaan terima kasih kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang sepanjang tahun 2024. Kejayaan mencatat rekod baharu ini menjadi satu semangat dan batu loncatan kepada Rapid KL untuk terus bersusaha,” ujarnya.

Tambah beliau, koordinasi menyeluruh bersama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), penganjur acara dan agensi-agensi terlibat serta perancangan teliti oleh pihak Rapid KL turut menjadi faktor kejayaan operasi berskala besar tersebut. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas