Berita

Rangkul pelbagai anugerah, PPj kekal prestasi cemerlang tahun 2023

NGA KOR MING (dua kiri) menyampaikan trofi dan mock cheque bernilai RM20,000 kepada Fadlun (tengah) di atas penerimaan Anugerah PBT Cemerlang (Perbandaran). Foto: Faris Azmi/PPj
- Diterbit 17 November 2023 1:00 AM MYT

PRESTASI cemerlang Perbadanan Putrajaya (PPj) terus diiktiraf melalui Anugerah Penghargaan Bandar Paling Mampan dan Anugerah Penghargaan Khas bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023 peringkat kebangsaan yang diadakan pada 9 November lalu bertempat di Dewan Seri Siantan, Kompleks Persidangan Perbadanan Putrajaya.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, pihaknya menyertai Program Malaysian Urban-Rural National Indicators Network for Sustainable Development (MURNInets) di bawah PLANMalaysia yang digunakan sebagai alat pengukur kemampanan bandar-bandar di Malaysia sejak tahun 2012.

“Bagi tahun 2023, pihak Perbadanan telah lengkap mengisi kesemua 39 indikator ke dalam gerbang MURNInets termasuk menjalankan soal selidik berkaitan Indeks Kebahagiaan dan Pandangan Penduduk Terhadap Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya kepada Wilayahku.

Terdahulu, anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Dalam majlis yang sama, PPj turut menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia dengan berjaya mencapai status Smart City Early Adopter pada tahun 2023 dalam Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia.

“Smart City Early Adopter merupakan Tahap 1-Bandar Pintar (smart city) yang telah digubal KPKT berdasarkan Matrik Pelaksanaan Bandar Pintar Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh Majlis Bandar Pintar Negara pada 10 Oktober yang lalu,” jelas beliau.

Selain itu, melengkapkan lakaran kejayaan bagi tahun 2023, Fadlun memaklumkan PPj turut menerima Anugerah PBT Cemerlang bagi kategori perbandaran dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023.

“Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri KPKT, Nga Kor Ming pada 11 November 2023 bertempat di St. Regis Kuala Lumpur.

“Penyertaan bagi Anugerah PBT Cemerlang ini dimulakan dengan kepatuhan kepada 17 kriteria yang telah digariskan oleh pihak penganjur serta sesi temu duga bersama panel juri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadlun berkata penglibatan para pemegang taruh dan komuniti Putrajaya dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihaknya adalah merupakan antara inti pati yang telah memberikan hasil kepada PPj atas pencapaian tertinggi ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas