Berita

Ramanan zahir terima kasih pada PM selesai isu perumahan Bestari Jaya

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 18 Februari 2025 5:30 PM MYT

TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan menzahirkan ucapan ‘Nandri’ (terima kasih) mewakili masyarakat India kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu perumahan komuniti India di Bestari Jaya, Tanjung Karang selepas 27 tahun tertangguh.

Ramanan yang juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata Perdana Menteri cukup komited dan perhatian dalam menangani isu-isu berkaitan dengan komuniti India di negara ini.

“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sering memberi perhatian terhadap isu-isu spesifik berkaitan semua kaum termasuk kaum India.

“Saya mewakili masyarakat India di negara ini ingin merakamkan ‘Nandri’ kepada Perdana Menteri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah berjaya menyelesaikan isu perumahan ini yang hampir 27 tahun tertangguh.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming yang telah mengambil membantu merealisasikan impian ini Kerajaan Madani mendengar dan bertindak. Inilah cara kita,” katanya.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Perdana Menteri juga sering mendapatkan maklumat terkini berhubung isu komuniti India dan segala inisiatif yang dilaksanakan daripada semua agensi-agensi yang berkaitan dan juga dirinya.

Kerajaan MADANI melalui KPKT telah bersetuju dengan cadangan pembangunan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang, Selangor yang dianggarkan berjumlah RM75 juta melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 Juta.

Ia dibangunkan di atas tanah berkeluasan 20 ekar yang diberikan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya merupakan kediaman jenis teres satu tingkat dalam kategori jualan terus (outright sale) dan mempunyai 245 unit buah rumah yang dilengkapi dengan kemudahan seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti dan taman permainan kanak-kanak.

Rumah ini bakal didiami oleh 245 keluarga pekerja ladang daripada lima buah ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas