Artikel

Ramai tak peduli keselamatan

AEDY FADLY meninjau Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Sungai Besi.
- Diterbit 20 April 2025 4:30 PM MYT
SEJUMLAH 61‚317 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang tempoh Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bermula 24 Mac dan berakhir 9 April lalu.

Memetik Ketua Pengarah JPJ‚ Datuk Aedy Fadly Ramli‚ notis yang dikeluarkan itu adalah hasil pemeriksaaan ke atas 287‚802 kenderaan di 353 kawasan panas seluruh negara. Sebanyak 511 kenderaan disita.

Pihak JPJ juga menerima 6‚687 aduan melalui Aplikasi MyJPJ berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan. Aduan ini hasil kerjasama orang awam yang mengambil gambar atau merakam video kesalahan di jalan raya dan menghantarnya melalui aplikasi berkenaan.

Kawan-kawan Kedai Kopi melihat dari dua sudut berhubung jumlah pengeluaran saman yang banyak sepanjang operasi Aidilfitri. Pertama‚ ia menyerlahkan usaha bersungguh-sungguh JPJ menguatkuasakan undang-undang.

Kedua‚ masih terlalu ramai pengguna tidak mematuhi peraturan jalan raya. Sikap ini amat dikesali kerana apa juga peraturan dibuat adalah demi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Pelbagai kempen‚ operasi dan saman dikenakan kepada pengguna yang ingkar. Tetapi ramai seolah-olah tidak peduli‚ mengakibatkan banyak notis kesalahan dikeluarkan. Didiklah diri agar berdisiplin dan berhati-hati di jalan raya. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. 
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas