BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rakyat Malaysia seolah tidak sependapat berhubung peperangan antara Israel dan Palestin.
Menurut Mahathir, ramai percaya perang tersebut berpunca dari perbezaan antara rakyat Palestin dan orang Yahudi, menyebabkan kemungkinan peperangan itu bermula.
“Kini ia sudah seperti pencabulan hak asasi rakyat Gaza. Seperti manusia lain yang punyai hak, rakyat Gaza juga berhak menikmati hak kemanusiaan tetapi hak mereka dirampas orang Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir menegaskan semua rakyat Malaysia perlu tolak perbuatan merampas hak kemanusiaan yang dilakukan orang Israel terhadap rakyat Palestin.
“Adalah salah apabila hanya umat Islam sahaja yang menuntut pengakhiran pembunuhan besar-besaran yang dilakukan Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu merasa terganggu dan desak serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan,” jelas beliau.
Sementara itu, Mahathir menyatakan tragedi holocaust menyebabkan enam juta orang Yahudi dibunuh sama seperti menimpa rakyat Palestin ketika ini.
“Yahudi di Jerman dirampas hak kemanusiaannya. Sekarang kita menyaksikan orang Yahudi Israel pula melakukan rampasan hak ke atas rakyat Palestin.
“Ini tragedi kemanusiaan. Perlakuan orang Israel ke atas rakyat Palestin adalah sama seperti yang dilakukan Nazi terhadap orang Yahudi. Ia jelas tidak adil dan tidak berperikemanusiaan,” katanya. – WILAYAHKU.