PENYELARASAN subsidi bersasar diesel yang telah diumumkan baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat memandangkan kos subsidi bahan api semakin meningkat dan bakal membebankan kesihatan kewangan negara.
Kerajaan juga yakin usaha ini mampu membanteras ketirisan hasil negara kepada pihak luar selain memberi wang subsidi bersasar kepada golongan yang tepat dan lebih memerlukan.
Ikuti penerangan daripada Jurucakap Kementerian Kewangan terhadap penyelarasan subsidi diesel bersasar.
Dengan bantahan daripada pelbagai pihak, kenapa kerajaan tetap ingin laksanakan program penyasaran diesel?
Matlamat utama kerajaan dalam penyasaran semula subsidi diesel adalah untuk memastikan kelestarian ekonomi negara, mengurangkan ketirisan kepada aktiviti penyeludupan dan memastikan penggunaan subsidi diesel hanya kepada sektor yang wajar dibantu seperti sektor pengangkutan darat awam dan logistik pengangkutan darat barangan.
Fokus utama kerajaan adalah untuk menangani ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel. Pada masa yang sama dalam melaksanakan program BUDI MADANI, kerajaan komited untuk memastikan impak kepada rakyat adalah minimum.
Ke manakah wang penyasaran subsidi ini akan dibelanjakan?
Hasil daripada penjimatan subsidi ini akan disalurkan semula untuk memanfaatkan rakyat dan kepada pembangunan negara. Antaranya akan digunakan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti serta mengukuhkan jaringan perlindungan sosial yang lebih inklusif selaras dengan hasrat Kerajaan dalam menaikkan lantai di bawah Ekonomi MADANI.
Sebahagian daripadanya akan dipulangkan kepada rakyat yang memerlukan manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk pembangunan sosioekonomi dan pengurusan fiskal negara.
Apakah justifikasi bagi penetapan bantuan RM200 ini?
Bantuan tunai ini adalah untuk penerima menampung peningkatan kos bahan api berikutan penyasaran subsidi diesel.
Ia bukan bertujuan untuk menampung sepenuhnya kos minyak pemilik kenderaan diesel atau peladang yang menggunakan mesin diesel.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, kira-kira 80 peratus pengguna kereta diesel dari isi rumah dengan pendapatan di bawah RM100,000 setahun melakukan perjalanan kurang dari 70 kilometer (km) sehari.
Ini bermakna bantuan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan dijangka memadai untuk menampung kenaikan harga diesel ekoran penyasaran subsidi ini.
Mengapa Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan dalam penyasaran subsidi diesel?
Mengambil kira kebergantungan tinggi ekonomi tempatan ke atas bahan api diesel dan keperluan pembangunan di Sabah dan Sarawak, kerajaan bersetuju tidak melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak buat masa ini.
Ini mengambil kira faktor geografi serta kebolehlaksanaan mekanisme fleet card terutamanya di kawasan pedalaman.
Pelaksanaan di Semenanjung Malaysia juga dilihat sebagai usaha fasa pertama yang memberi ruang kepada syarikat-syarikat minyak untuk membangunkan kemudahan serta infrastruktur dan bersedia sekiranya akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Apakah manfaat yang akan diterima oleh golongan yang mampu dan juga pembayar cukai terbesar?
Pada tahun 2023, kerajaan membelanjakan lebih RM80 bilion bagi keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan termasuk subsidi pertanian, bantuan tunai dan jumlah terbesar perbelanjaan adalah bagi tujuan subsidi kepenggunaan iaitu sebanyak RM50 bilion termasuk subsidi petrol, diesel dan gas cecair memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam dan telur.
Jumlah tanggungan subsidi ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kutipan cukai individu yang dipungut.
Berdasarkan statistik, pembayar cukai individu hanya merangkumi 15 peratus dari 16 juta tenaga kerja dan penyumbang terbesar cukai adalah cukai syarikat berbanding cukai individu.
Hasil cukai ini digunakan bagi menyediakan akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada segenap lapisan masyarakat di samping memastikan infrastruktur awam berada dalam keadaan yang baik.
Kerajaan juga menyediakan insentif cukai kepada pembayar cukai sebagai pelepasan cukai tambahan.
Mengapakah kenderaan mewah dikecualikan daripada BUDI Individu dan apakah takrifan kenderaan mewah?
Penyasaran subsidi diesel adalah untuk memastikan perbelanjaan subsidi diberikan kepada golongan yang layak sahaja.
Oleh itu, kerajaan telah meletakkan syarat supaya penerima BUDI Individu terdiri dari mereka dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM100,000 setahun dan bukan pemilik kereta mewah.
Jenama kenderaan mewah yang tidak layak termasuk BMW, Mercedes, Audi, Porsche dan Hummer. Bagi jenama-jenama ini, hanya kenderaan berusia bawah 10 tahun yang tidak layak.
Kenderaan diesel yang lazim digunakan oleh rakyat seperti Toyota Hilux, Isuzu DMax, Ford Ranger tidak termasuk dalam kategori ini kerana kerajaan sedar bahawa kenderaan jenis ini biasa digunakan oleh peniaga PMKS.
Pada masa yang sama, pemohon perlu memenuhi kriteria tambahan berikut untuk layak seperti pemohon merupakan warganegara Malaysia; memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ kecuali kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun; kenderaan yang dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Bagaimana kaedah penyasaran subsidi ini mampu mengelakkan daripada kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup rakyat?
Sektor Logistik yang terlibat secara langsung dengan pengangkutan barangan darat masih kekal menikmati harga diesel pada harga sekarang iaitu RM2.15 seliter dengan penggunaan fleet card selepas harga diesel di pam diapungkan.
Bagi pengangkutan darat awam, sektor ini masih kekal menikmati subsidi diesel pada harga yang lebih rendah iaitu RM1.88 seliter.
Pengangkutan darat awam yang layak juga boleh memohon melalui MySubsidi Diesel kategori Pengangkutan darat Awam yang telah dilaksanakan sejak tahun 2013.
Selain itu, bantuan tunai juga disediakan kepada kenderaan persendirian milik individu untuk membantu petani dan pekebun kecil bagi mengurangkan kenaikan kos harian akibat kenaikan harga diesel. Langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan impak kenaikan harga barangan asas dan dalam masa yang sama langkah penguatkuasaan juga akan diperkukuh bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.
Pelbagai operasi penguatkuasaan juga akan diperkasakan dan ditingkatkan seperti Ops Kesan, Ops Catut, Ops Terjah, Ops Tiris, Ops Menu, Ops Pasar dan Ops Samar bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mengekang elemen pencatutan di pasaran. – WILAYAHKU