Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
TANGGAL 25 Oktober setiap tahun, komuniti orang kerdil akan menyambut Hari Orang Kerdil Antarabangsa Sedunia yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang achondroplasia, satu gangguan pertumbuhan tulang yang menyebabkan kerdil.
Berkongsi keterlibatan dalam meraikan golongan tersebut, Pengasas Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia (JIWA), Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Azizi berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip setiap individu tanpa mengira kecacatan fizikal mempunyai nilai dan potensi unik tersendiri yang boleh diraikan.
Mengambil inisiatif untuk merapatkan jurang, golongan orang kurang upaya (OKU) bersama komuniti setempat, maka wujudlah Projek Tiny World yang diadakan pertama kali pada 2019.
“Projek tersebut bertujuan untuk memperkenalkan golongan kerdil kepada masyarakat umum bagi meningkatkan pemahaman tentang cabaran yang mereka hadapi. Program ini melibatkan sesi perkongsian serta aktiviti bersama iaitu menanam pokok di dalam balang kaca yang dipanggil terarium. Ia adalah satu simbolik menunjukkan dunia kecil. Projek ini melibatkan 30 orang kerdil bersama dengan 20 orang komuniti.
“Pada tahun lalu, JIWA telah mengadakan kerjasama bersama SBM Offshore menyantuni 50 orang kerdil daripada Pertubuhan Orang Kerdil Kebangsaan (PKOKM).
“Konsep yang diketengahkan pada penganjuran lalu adalah bantuan makanan yang disusun agar kelihatan seperti pasar tani di mana penerima manfaat perlu mengambil bakul yang disediakan dan kemudiannya mengambil sendiri barangan makanan segar dan kering masuk ke dalam bakul,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Syed Zainal berkata pihaknya memilih untuk meraikan golongan kerdil ini adalah kerana ingin membantu mencabar stigma dan diskriminasi yang sering dihadapi dan mempromosikan penerimaan dan inklusi.
“Kami juga berharap program yang diadakan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kerdil dengan menyediakan platform untuk mereka berkongsi pengalaman, mempamerkan bakat dan menjalin hubungan dengan masyarakat umum,” ujarnya.
Tambahnya lagi, golongan kerdil ini perlu berhadapan dengan cabaran namun ruang dan peluang juga harus diberikan kerana mereka masih mampu berjaya seperti manusia lain.
“Berdasarkan pengalaman kami dalam menyantuni mereka, benar cabaran itu wujud kerana kondisi bagi setiap orang kerdil adalah berbeza.
“Jika berbual dengan mereka, antara fasiliti yang mereka harapkan adalah semasa bekerja. Mereka mampu bekerja sama seperti kita namun memerlukan meja dan kerusi yang boleh diubah ketinggian. Keperluan-keperluan yang boleh dicapai sesuai dengan ketinggian mereka adalah penting bagi mengurangkan risiko jatuh,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Zainal berharap menerusi program yang dianjurkan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan kerdil dan menciptakan masyarakat yang lebih inklusif dan menerima. – WILAYAHKU