DALAM kalangan warganet, heboh mengatakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli akan menubuhkan sebuah parti baharu.
Dakwaan atau fitnah itu menjadi semakin rancak apabila dikatakan Rafizi bakal menubuhkan parti baharu bersama rakan-rakan dalam politik yang lain, setelah tidak mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan ini timbul dan menjadi topik perbualan masyarakat susulan Rafizi kalah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei lalu.
Jangan mudah menuduh tanpa usul periksa. Ini kerana menerusi ‘Podcast Yang Berhenti Menteri’ yang disiarkan di saluran YouTubenya, Rafizi berkata negara dan rakyat tidak memerlukan sebuah parti baharu dalam masa terdekat.
“Bukan soal orang minat atau tidak minat parti-parti yang ada sekarang. Sebabnya ialah yang paling penting untuk negara dan masyarakat, kita kena kekalkan kestabilan.
“Kerajaan itu tak boleh bertukar-tukar seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Biarlah kerajaan yang ada itu terus memerintah kerana akhirnya kuasa itu akan kembali juga kepada rakyat (dalam masa) dua atau dua tahun setengah dari sekarang,” katanya.
Rafizi berkata sekiranya berlaku ketidakstabilan pada masa ini, ia akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat memandangkan negara sedang melalui tempoh yang mencabar.
“Dengan adanya kestabilan politik, kita boleh melalui cabaran ekonomi dunia yang berlaku ini dengan baik.
“Dua tahun setengah dari sekarang, kalau rakyat merasakan ada pasukan lebih baik untuk mengambil alih, itu keputusan rakyat,” katanya.
Beliau juga menyifatkan rakyat tidak mahu melalui perkara toksik dengan penubuhan sebuah parti baharu lagi.
Dalam pada itu, Rafizi turut berpandangan terlalu awal pihaknya untuk membuat keputusan mengenai penyertaan pemilihan parti itu yang dijangka akan diadakan pada 2028.
“Antara 2025 hingga 2028 itu, macam-macam boleh jadi. Contohnya bentuk pemilihan berlainan.
“(Selain itu) kalau PKR masih lagi jadi kerajaan tahun 2028, maka semua orang berlumba-lumba untuk bertanding,” katanya. – WILAYAHKU