Berita

Qunut Nazilah selepas solat fardu di masjid dan surau

Kredit foto: Facebook Dato' Setia Dr. Na'im
- Diterbit 10 November 2023 12:10 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), telah mengarahkan kesemua ­masjid utama serta surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ­pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ­untuk ­membaca doa Qunut Nazilah ­dalam setiap solat fardu ­bermula 8 November.

Antara ­masjid ­terlibat di bawah seliaan JAKIM ­ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta kesemua ­masjid dan surau di bawah ­pentadbiran JAWI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya mengecam dan mengutuk perbuatan tidak ­berperikemanusiaan Zionis, Israel yang terus menerus ­melancarkan serangan kepada Gaza, Palestin.

“Di pihak ­kementerian mengutuk perbuatan tidak ­berperikemanusiaan Zionis, Israel yang telah ­menyebabkan kematian dan kecederaan ­termasuk kanak-kanak serta telah memusnahkan ­kediaman, premis awam dan sebagainya.

“Tindakan Zionis Israel ­adalah biadab serta amat tidak ­bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan ­baru-baru ini.

Tambah Mohd Na’im, beliau ­menyeru semua orang bersatu ­hati menadah tangan dan berdoa agar keamanan dapat dikecapi.

“Marilah ­bersama-sama ­kita ­terus bersatu hati ­berdoa agar Allah memberikan ­kesejahteraan dan ­keamanan buat rakyat Gaza di Palestin.

“Selain itu, kita ­terus ­menghulurkan bantuan dan ­sokongan dalam pelbagai ­platform menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza, Palestin,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas