Qari dan qariah Malaysia mengungguli Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2024 apabila diumum sebagai johan pertandingan bagi kategori lelaki dan wanita yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.
Muhammad Husaini Mahmur memperoleh markah sebanyak 95.71 peratus diikuti qari dari Pakistan, Abdur Rasheed dengan 93.59 peratus dan Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09 peratus).
Memperoleh markah 91.76 peratus, qariah Malaysia, Nor Hidayah Abdul Rahman muncul juara kategori wanita diikuti Raihana Ambangala (Filipina) dengan 90.26 peratus dan qariah Indonesia, Syamimi Assahira Zulfan (89.46 peratus).
Johan qari dan qariah kategori tilawah Al-Quran akan menerima kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai daripada kerajaan Malaysia berjumlah RM40,000, hadiah iringan dan sijil.
Hadiah sama menanti johan lelaki dan wanita bagi kategori Hafazan Al-Quran.
Sementara itu, qariah Malaysia bagi Kategori Hafazan (Wanita), Putri Aminah Mohd. Hanif memenangi tempat kedua dengan memperoleh markah sebanyak 94.89 peratus.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang.
Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-64 membuka tirai penganjurannya pada 5 Oktober dengan penyertaan seramai 92 peserta mewakili 71 negara. – WILAYAHKU