BERTERASKAN slogan Destinasi Putrajaya Mesti Lawat (A Must Visit Destination) serta menyahut Kempen Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026), Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif untuk melaksanakan satu sesi networking dan publisiti bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk pelancongan Putrajaya yang terkini.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, tujuan program itu dilaksanakan adalah untuk meningkatkan imej Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang unggul dan wajib dilawati serta giat mempromosikan pelancongan domestik.
“Ia juga untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara dan menggalakkan perkembangan sektor pelancongan merangkumi semua kluster,” ujar beliau.
Fadlun berkata Putrajaya mempunyai identiti tersendiri dengan seni bina bangunan menarik, jambatan ikonik, seni bandar dan landskap yang terancang.
“Selaras dengan konsep pembangunan bandar raya dalam taman, pembangunan Putrajaya secara langsung mempunyai potensi pelancongan yang baik serta perlu dipromosi dengan strategi yang berkesan menerusi persepakatan kerjasama bersama agensi awam, swasta, komuniti serta para pengusaha pelancongan tempatan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 50 peserta terlibat dalam program ini terdiri daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Tourism Malaysia (pelbagai bahagian), Sekretariat VMY2026 serta rakan strategik yang lain.
“Beberapa lokasi pelancongan yang telah dipilih seperti Kebun komuniti KK1 Presint 9, Laman Kelulut Taman Botani, Water Taxi, The Glasshoper, Glow Glamping, Putrajaya Adventure Park dan Swan Lake Taman Wetland.
“Sehingga Ogos 2024, jumlah pengunjung dan pelawat yang hadir ke Putrajaya adalah seramai 13,451,507.
“Peningkatan ini adalah satu pencapaian yang dapat memberi semangat kepada semua penggiat industri pelancongan Putrajaya dan motivasi kepada kami sendiri.
“Diharapkan sektor ini akan terus berkembang maju dan Putrajaya sebagai salah satu destinasi cuti-cuti Malaysia,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan pihaknya turut menyiapkan Blueprint Pelancongan Putrajaya 2032 bagi memantapkan lagi hala tuju dan inisiatif serta promosi pelancongan Putrajaya.
“PPj akan sentiasa melaksanakan pelbagai promosi seperti mengadakan pameran, promosi digital selain penglibatan influencer dan lain-lain lagi.
“Pendekatan sebegini dapat membantu meningkatkan kerancakan sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia serta komuniti Putrajaya,” ujarnya. – WILAYAHKU