PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan untuk memasang 500 unit stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di pelbagai lokasi di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu menjelang 2030.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, ketika ini, 23 stesen pengecas EV telah dipasang di beberapa lokasi manakala 27 stesen lagi menjelang akhir tahun ini.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada rancangan pihaknya dengan kerjasama Gentari Green Mobility Sdn Bhd iaitu anak syarikat Gentari Sdn Bhd (Gentari) dalam menyokong aspirasi Putrajaya untuk menjadi bandar rendah karbon.
“Terbaru, kami telah memasang sebuah stesen EV di Taman Ekuestrian Putrajaya di kawasan tempat letak kereta berhampiran ‘Eques Cabin Café’.
“Stesen pengecasan ini menyediakan kuasa aliran ulang-alik (AC) tujuh kiloWatt (kW) yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna EV di kawasan tersebut,” katanya semasa Majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV di Taman Ekuestrian Putrajaya.
Fadlun berkata lokasi strategik yang telah dikenal pasti untuk stesen pengecasan pada masa hadapan termasuk di Laman Perdana, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral dan Kelab Tasik Putrajaya.
“Semasa mengecas, pengguna boleh menggunakan fasiliti yang tersedia di Taman Ekuestrian Putrajaya dengan menyertai aktiviti menunggang kuda atau menikmati hidangan dan minuman yang lazat di Eques Cabin Cafe.
“Kerjasama kami dengan Gentari adalah satu lagi contoh bagaimana Putrajaya bekerjasama dengan pemain tenaga global untuk membangunkan kemudahan EV terkini untuk komuniti dan pengunjung di Putrajaya.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan kemudahan terbaharu ini di Putrajaya melalui kerjasama dengan sektor swasta yang sama-sama komited untuk mempercepatkan peralihan bandar Putrajaya ke arah masa depan yang mampan,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, Haikal Zubir berkata pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan PPj bagi memperluaskan ketersediaan infrastruktur pengecasan EV di bandar raya pentadbiran negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja menyokong perjalanan Putrajaya ke arah menjadi bandar rendah karbon serta menyokong matlamat Kerajaan Persekutuan untuk mempunyai kenderaan elektrik dalam pasaran kenderaan di Malaysia,” ujarnya.
Orang ramai juga boleh mengguna kemudahan ini dengan mudah dan lancar sebagai satu platform tenaga bersih ‘Gentari Go’ yang menawarkan gaya hidup baharu kepada pelanggan melalui platform ini terus kepada pengguna. – WILAYAHKU