Berita

Putrajaya kekal status bandar mampan

- Diterbit 17 Mei 2024 3:40 PM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) merangkul tiga anugerah Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) pada Majlis Malam Gala MLAA14 di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dua anugerah yang diterima adalah Anugerah Inisiatif Hijau (Kategori Kerajaan) menerusi Program Orkid Putrajaya 2023 dan Hari Rekreasi Putrajaya 2023 manakala satu lagi anugerah adalah Anugerah Pengurusan Alam Sekitar dan Landskap (Kategori Tindakan Iklim) menerusi Pengurusan Pokok Ameniti Putrajaya.

Dalam majlis yang sama, Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud turut diberi penghormatan sebagai Ahli Kehormat Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) iaitu pengiktirafan tertinggi dan berprestij keahlian ILAM yang diberikan kepada tokoh terpilih atas pencapaian, penglibatan serta sumbangan besar dalam perancangan dan pembangunan landskap negara.

Anugerah diterima ini menambah lagi koleksi pengiktirafan serta kejayaan dicapai PPj dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sekali gus menjadi sebahagian indikator yang menyokong ke arah pencapaian Visi Wilayah Persekutuan C.H.A.S.E (Clean, Healthy, Advanced, Safe & Eco-Friendly City) yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

la turut mendokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menyokong ke arah Putrajaya mengekalkan status bandar mampan iaitu pengiktirafan tahunan yang dicapai PPj sejak beberapa tahun lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas