PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) terus komited dalam mempromosikan gaya hidup sihat melalui penganjuran pelbagai aktiviti rekreasi dan sukan. Salah satu inisiatif utama adalah program Putrajaya Active Park (PAP) 2025 yang menawarkan pelbagai kemudahan dan program untuk komuniti setempat.
Program yang akan berlangsung pada 24 Mei bermula pada pukul 7.30 hingga 8.30 pagi bertempat di Taman Wetland Putrajaya itu diharapkan dapat mewujudkan suasana lebih inklusif, di mana setiap individu boleh mengambil bahagian dan menikmati faedah kesihatan daripada pelbagai jenis senaman yang ditawarkan.
Ia menyediakan peluang kepada pengunjung untuk menyertai aktiviti senaman yang dapat meningkatkan kecergasan fizikal dan mental. Di samping itu, aktiviti ini dapat memberi ruang untuk beriadah sambil berkumpul dengan rakan dan keluarga, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna dan menyeronokkan.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai PAP 2025, ikuti wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Presiden PPj, DATUK FADLUN MAK UJUD.
Apa matlamat dan objektif penganjuran program ini?
Penganjuran program ini merupakan salah satu langkah proaktif yang diambil oleh PPj untuk menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, terutamanya komuniti Putrajaya.
Melalui inisiatif ini, diharapkan masyarakat dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan gaya hidup aktif dan sihat, yang bukan sahaja melibatkan aktiviti fizikal tetapi juga amalan pemakanan seimbang serta kesejahteraan mental.
Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat bagi kesihatan mereka.
Dalam masa sama, PAP 2025 dijadikan platform strategik yang mengumpulkan pengamal aktiviti fizikal dan rangkaian mereka untuk membina hubungan yang lebih kukuh dengan pihak PPj.
Ia memberi peluang kepada semua pihak untuk berbincang, bertukar idea dan membentuk kerjasama yang bermanfaat bagi memajukan lagi aktiviti sihat di Putrajaya.
Dengan jaringan hubungan yang terjalin, pihak PPj dapat menerima maklum balas serta cadangan yang konstruktif untuk memperbaiki dan meningkatkan program-program pada masa depan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Secara keseluruhan, penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang menyertainya, tetapi juga kepada komuniti melalui kerjasama antara pihak berkuasa, pengamal aktiviti dan masyarakat.

Apakah tarikan utama PAP 2025?
Tarikan utama bagi program ini adalah aktiviti senaman yang akan dilaksanakan dalam 10 siri, dengan setiap siri diadakan di taman-taman yang berbeza. Setiap siri bertujuan menggalakkan masyarakat tanpa mengira usia atau tahap kecergasan untuk menjadi lebih aktif secara fizikal.
Aktiviti senaman ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan umum, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan mental dan sosial peserta. Setiap siri program ini akan menawarkan jenis senaman yang berbeza, bersesuaian dengan keperluan dan minat komuniti setempat.
Setiap siri senaman dalam program ini bertujuan untuk memberikan variasi, supaya peserta dapat memilih aktiviti yang sesuai dengan minat dan keperluan mereka.
Kelebihan menyediakan pelbagai jenis senaman adalah untuk menarik lebih ramai peserta dengan latar belakang yang berbeza, daripada mereka yang mencari senaman berintensiti tinggi hingga ke mereka yang lebih menyukai senaman ringan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan mental dan fizikal.
Selain itu, aktiviti ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mencuba sesuatu yang baru dan mengubah rutin senaman mereka supaya lebih menarik dan tidak membosankan.
Sasaran utama dalam program ini? Adakah ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat?
Program ini menyasarkan golongan remaja, belia dan komuniti Putrajaya untuk menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
Bagi golongan remaja, program ini bertujuan untuk membentuk gaya hidup aktif dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental, manakala untuk golongan belia, ia adalah platform untuk mereka melakukan aktiviti senaman yang membantu mengurangkan stres serta meningkatkan kecergasan dan kesejahteraan emosi.
Program ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk membina hubungan sosial yang positif melalui aktiviti berkumpulan.
Melalui penyertaan dalam aktiviti senaman dan rekreasi, diharapkan program ini dapat memperkukuh ikatan sosial antara anggota komuniti serta mewujudkan budaya hidup sihat di Putrajaya.
Respons daripada peserta, rakan kerjasama dan pihak berkaitan setelah dua siri yang lepas berlangsung?
Pihak PPj telah menerima sambutan yang sangat positif setelah dua siri pertama program ini dijalankan daripada pelbagai kumpulan yang menjalankan aktiviti senaman.
Mereka menunjukkan minat yang tinggi untuk mengadakan aktiviti serupa di taman-taman awam Putrajaya. Kejayaan program ini terbukti apabila Anjung Floria, yang menjadi lokasi kedua untuk aktiviti PAP habis ditempah setiap hujung minggu, terutamanya sepanjang bulan puasa.
Berdasarkan sambutan yang menggalakkan ini, PPj mengambil langkah untuk memperkenalkan pakej khas bagi mana-mana kumpulan yang berminat untuk melaksanakan aktiviti senaman secara berkala di taman-taman Putrajaya.
Pakej ini bertujuan untuk memudahkan penyelarasan dan perancangan aktiviti senaman yang lebih teratur, sambil memberi peluang kepada lebih banyak kumpulan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Dengan adanya pakej khas ini, pihak PPj berharap dapat menyokong lagi budaya hidup sihat dalam komuniti serta memastikan kemudahan awam di Putrajaya dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat.
Pesanan kepada orang ramai yang bercadang untuk menghadiri program ini?
Memandangkan aktiviti ini dijalankan secara outdoor, para peserta digalakkan untuk memakai pakaian yang selesa dan sesuai.
Ini termasuklah baju yang ringan dan tidak menyerap haba serta kasut yang sesuai. Pakaian yang selesa dan kasut yang betul penting untuk memastikan pergerakan peserta tidak terbatas dan dapat menjalani aktiviti senaman dengan lebih lancar dan selamat.
Selain itu, peserta juga digalakkan untuk membawa tuala kecil dan air mineral sepanjang aktiviti berlangsung. Ini adalah langkah penting untuk mengelakkan dehidrasi. Dengan memastikan tubuh kekal terhidrat, anda dapat mengelakkan keletihan dan masalah kesihatan lain yang mungkin timbul akibat kekurangan air dalam badan.
Seterusnya, peserta digalakkan untuk memakai pelindung matahari seperti topi dan krim pelindung UV bagi melindungi kulit daripada sinaran matahari. Di samping itu, pastikan untuk tidak mengambil makan berat sebelum aktiviti dan memilih makanan ringan yang lebih mudah dicerna, seperti buah-buahan atau kekacang.
Peserta juga dinasihatkan untuk melakukan pemanasan sebelum memulakan senaman dan regangan untuk mengurangkan risiko kecederaan. Dengan mengikuti tips ini, peserta akan dapat menjalani aktiviti luar dengan lebih selesa dan selamat, sambil memaksimumkan manfaat kesihatan yang diperoleh daripada senaman tersebut.
Bagaimanakah pengunjung ingin mendapatkan maklumat tentang PAP 2025?
Orang ramai boleh layari media sosial kami Facebook @Perbadanan Putrajaya; X @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai program ini dan menjadi sebahagian daripada komuniti aktif yang mempromosikan gaya hidup sihat di Putrajaya. Peserta setia yang mengikuti kesemua siri PAP ini akan mendapat hadiah misteri daripada pihak PPj di akhir siri nanti. – WILAYAHKU