Berita

Putra Arshaq cahaya mata kedua Putra Amaris

- Diterbit 15 Jun 2024 10:39 PM MYT

PELAKON Putra Amaris meluahkan rasa syukurnya apabila isterinya Nur Syazwani Alias melahirkan cahaya mata kedua mereka pada 9 Jun baru-baru ini.

Menerusi Instagramnya, Amaris berkongsi nama yang sangat indah untuk anaknya iaitu Putra Arshaq.

“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil.

“Bismillahirrahmanirrahim. Syukur Alhamdulillah telah selamat dilahirkan anak kedua kami, baby boy pada 9 Jun 2024 bersamaan 2 Dzulhijjah 1445H,” katanya.

“Sempena hari ketujuh kelahiran, kami berikan namanya Putra Arshaq yang membawa maksud putera yang tampan dan murah hati dermawan,” katanya.

Amaris dan isteri juga memohon doa agar Arshaq membesar dengan baik dan disertai dengan budi pekerti yang mulia.

“Doakan Arshaq membesar sebagai insan hebat yang baik budi pekerti di dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Amaris dan Syazwani berkahwin pada 5 Januari 2018 di kediaman isterinya di Batu Pahat, Johor.

Sebelum ini mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Putra Asytar yang kini berusia 6 tahun. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas