Berita

PUSPANITA disaran teruskan Puspafit@Komuniti, galak gaya hidup sihat

AZIZAH hadir pada Program Puspafit@Komuniti bersempena dengan Hari Sukan Negara di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, hari ini. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 28 Oktober 2023 5:58 AM MYT

PERSATUAN Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) disaran meneruskan Program Puspafit @komuniti selaras dengan hasratnya untuk membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif.

Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan 1.7 juta rakyat Malaysia menghidapi penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi, sekali gus menekankan kepentingan gaya hidup sihat kepada masyarakat.

“Puspafit ini untuk (menarik minat masyarakat) menjaga kesihatan dan bukan sahaja melalui sukan tetapi juga aktiviti riadah dan melalui tarikan lain.

“ … supaya orang berminat sebab kita dah biasa sangat hidup dengan telefon bimbit, screen time (yang lama) jadi kita perlukan satu interaksi, ini satu daripada caranya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Puspafit @komuniti di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak hari ini.

Beliau berkata PUSPANITA turut disaran untuk menjadikan Puspafit @komuniti sebagai platform bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat yang berbilang bangsa dan latar belakang.

Program itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Norizam Che Mohd Nor dimulakan dengan acara aerobikthondiikuti sukaneka dan perlawanan persahabatan bola jaring antara pasukan pilihan PUSPANITA menentang pasukan pilihan Bandar Tun Razak.

Selain itu, pertandingan badminton antara subzon di Parlimen Bandar Tun Razak juga telah diadakan pada 22 Okt dan hadiah kepada pemenang turut disampaikan pada program hari ini.

Program berkenaan juga menyaksikan penyampaian sumbangan peralatan sukan kepada wakil penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak, pemeriksaan kesihatan oleh Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak dan pameran oleh jabatan dan agensi seperti Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Puspafit @komuniti turut melibatkan kerjasama strategik antara PUSPANITA dengan Kementerian Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Bandar Tun Razak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas