Berita

Pusat PERMATA bakal dibina buat anak-anak autistik

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:24 PM MYT

SEBANYAK 11 Pusat PERMATA baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa cakna dan akan memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik berada pada tahap terbaik.

“Sebanyak dua buah sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta yang mana sekolah di Johor Bahru ini bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.

“Selain itu, Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 sebulan juga terus disediakan kepada lebih 110 ribu murid orang kurang upaya (OKU) termasuk murid autisme melibatkan peruntukan Rm200 juta,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme akan disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak di mana ia bakal memanfaatkan 30 ribu anak autisme dengan dana RM15 juta.

“Di samping itu, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terangkum, RM10 juta disediakan bagi membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melengkapkan kemudahan pembelajaran.

“Sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta. Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada RM6,000 ketimbang RM4,000,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan juga menyediakan RM5 juta untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan.

“Usaha ini bagi memulakan saringan Hepatitis B secara universal kepada 420 ribu ibu hamil untuk pengesanan dan rawatan awal penyakit dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan produktif,” katanya.

Tambahnya pendidikan awal mustahak kerana tempoh ini tumbesaran otak berkembang paling pesat seraya perlu dilentur dan dididik sejak awal namun tahun ini seramai 122 ribu murid tahun satu masih belum menguasai literasi dan numerasi.

“Tahun hadapan, Kerajaan akan membina prasekolah baharu untuk pendidikan awal kanak-kanak antaranya 34 prasekolah baharu antaranya di SK Pakatan Jaya, Kinta Utara, Perak dan SK FELDA Palong 1, Jempol, Negeri Sembilan; dan 16 TASKA dan TABIKA KEMAS antaranya di Gopeng, Segamat, Rompin dan Kota Samarahan,” katanya.

Anwar berkata bagi terus membantu ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan anak-anak, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas