Artikel

Pupuk kesedaran kesihatan

ANWAR ketika melawat Pasar Siti Khadijah‚ Kota Bharu‚ Kelantan pada awal bulan ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Oktober 2024 12:19 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

KESEDARAN tentang kebersihan dan penjagaan kesihatan nampaknya semakin meningkat di negara ini. Namun ia tidaklah sampai ke tahap yang betul-betul baik sehingga ia boleh dibanggakan.

Awal bulan ini, ketika berucap di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan sekurang- kurangnya dua perkara penting yang perlu dilaksanakan dalam kalangan rakyat negara ini khususnya rakyat negeri Kelantan iaitu kebersihan dan kurangkan penggunaan gula dalam minuman dan makanan.

Ia nampak mudah dan ringkas tetapi untuk menjayakannya perlukan iltizam dan kesungguhan dalam kalangan semua pihak khasnya apparatus kerajaan. Untuk menggerakkan apparatus kerajaan pula perlukan kesungguhan politik atau political will daripada pemimpin politik atau kerajaan.

Rakan saya, Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, seorang peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur menulis satu tulisan yang menarik dan dihantar kepada saya. Namun kerana kesibukan, hanya beberapa hari lepas saya membaca tulisan ini. Apabila membacanya, saya berkata, wow sangat menarik walaupun ia isu yang mudah sahaja.

Beliau memberikan 15 saranan untuk dilaksanakan oleh kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendidik masyarakat tentang kesihatan yang bagi saya sangat mudah dan boleh dilaksanakan tetapi tidak terlaksana sebelum ini.

Tidak semua saranan beliau ini boleh dilaksanakan dan ada juga saranan beliau yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Berikut adalah 15 saranan beliau itu:

1) Bahaya makan dan minum sebarang makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula atau susu pekat yang tinggi serta tunjukkan bukti akibat pengambilan susu pekat atau gula berlebihan. Tunjuk juga bukti dalam poster berkenaan contoh jenama yang menjual makanan dan minuman dengan kandungan gula berlebihan. Jangan terkejut jika teh tarik kurang manis masih lagi manis dan selepas itu terpaksa dibuang setengah gelas dan digantikan dgn air suam. Namun selepas itu, terpulang pada pengguna jika masih berdegil mahu membeli produk berkenaan.

2) Bahaya makan mee segera sebarang jenama. Tunjukkan bukti saintifik bahawa setiap bungkus mee segera boleh membaluti tali perut manusia selama seminggu. Tunjukkan bukti bahawa perencah mee segera jika dituang di atas rumput akan menyebabkan rumput mula menjadi kuning selepas beberapa hari dan kemudiannya mati. Tunjukkan juga bukti bahan kandungan mee segera jenama luar negara yang mengandungi bahan yang tidak halal walaupun diminati ramai pengguna generasi muda beragama Islam.

3) Bahaya ketika makan tengah hari atau makan malam di mana saja yang mungkin mempunyai elemen yang boleh menyebabkan serangan jantung contohnya minyak berlebihan dalam kari ikan, kari daging, kari ayam, kari kambing iaitu lapisan minyak masak yang begitu tebal dalam periuk peniaga. Begitu juga bahan-bahan tertentu makanan berkolestrol tinggi yang terdapat dalam bahan masakan.

4) Promosikan penggunaan beras perang berbanding beras putih yang dikilatkan menjadi putih dengan menggunakan bahan pencuci pakaian. Sertakan bukti saintifik yang dilaporkan oleh badan-badan kajian yang dihormati masyarakat.

5) Promosikan penjualan roti perang berasaskan gandum asal berbanding roti putih yang mempunyai kandungan gula yang tinggi serta menjadi putih akibat penggunaan bahan pencuci pakaian dalam pemprosesan gandum. Sertakan juga bukti santifik.

6) Promosikan penggunaan gula perang yang berasal daripada warna perang tebu berbanding dengan gula putih yang dikilatkan menggunakan bahan pencuci pakaian. Sertakan bukti santifik yang dilaporkan.

7) Poster-poster kempen kesedaran bahaya beberapa makanan yang dijual di restoran makanan segera serta bahaya junk food yang dijual di serata kedai dan pasar raya.

8) Promosikan cara hidup sihat dengan poster-poster membeli sendiri lauk mentah dari pasar serta pasar tani dan memasak sendiri untuk keluarga yang lebih sedap, murah dan terjamin kebersihannya.

9) Menyedarkan pengguna yang mereka cuma layak menyaman syarikat-syarikat yang menjual makanan dan minuman yang membahayakan kesihatan mereka jika tiada elemen cuai daripada mereka. Di zaman Teknologi Maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) sekarang penggunaan telefon pintar serta komputer riba akan membolehkan pengguna mengetahui dengan cepat dan mudah tentang mudaratnya sesuatu makanan atau minuman serta bahan-bahan yang terkandung dalam sesuatu makanan yang telah siap diproses dan dikilangkan untuk jualan.

10) Menyedarkan pengguna bahaya telefon pintar dijadikan rantai leher ataupun diletakkan dalam poket. Sekali lagi semua bukti-bukti saintifik boleh disertakan dalam bentuk penjelasan grafik.

11) Menyedarkan pengguna bahaya komputer riba diletakkan di atas riba untuk melakukan sesuatu tugas secara atas talian. Bukti-bukti saintifik boleh disertakan dalam bentuk penjelasan grafik.

12) Menyedarkan pengguna bahaya menggunakan wireless earphone atau wireless headphone dengan kadar lama dan berterusan. Sertakan bukti-bukti saintifik dalam bentuk penjelasan grafik.

13) Menyedarkan pengguna dengan lebih agresif bahaya vape dan rokok tradisional.

14) Mempromosikan makanan kesihatan dengan memberikan dalil-dalil sahih seperti kurma ajwa, habbatus sauda dan air zamzam. Kerajaan Malaysia boleh berbincang dengan kerajaan Arab Saudi untuk menamatkan larangan eksport air zamzam bagi membekalkan air zamzam secara komersial di Malaysia supaya juga larangan menjual air zamzam di Malaysia yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dapat dibatalkan.

15) Mempromosikan senaman ringan dengan berjalan 20 minit setiap pagi dan petang. Memberikan amaran secukupnya mengenai senaman agar jantung tidak terkejut contohnya tidak pernah berjoging seumur hidup tiba-tiba berjoging mengejut beberapa kilometer akan membahayakan diri sendiri.

INI adalah sekadar pandangan daripada penulis dengan cadangan tambahan daripada Dr Syed Iskandar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas