JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah menyediakan satu laporan susulan video tular melibatkan pendakwah dan sekumpulan pelajar di sebuah majlis di Kedah yang mengalunkan bait tertentu dalam Bahasa Arab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAKIM juga dikehendaki membawa isu berkenaan kepada tindakan pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merujuk kepada sebuah video yang tular di media sosial melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar di sebuah majlis terbabit.
“Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan bercanggah dengan akidah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Na’im berkata, agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan diminta melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.
Katanya, ia khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Sebelum ini tular video di media sosial berdurasi satu minit dua saat melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab yang didakwa memuja serta memuji secara melampau seorang guru agama dari negeri utara. – WILAYAHKU