Berita

PTTI raih rekod terbesar… Himpun lebih 4,000 pelajar SPM dalam Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI

- Diterbit 5 Jun 2025 7:19 AM MYT

PUSAT peningkatan akademik terkenal, PTTI sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dalam program Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI Selangor yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor, pada Rabu.

Program yang menjadi antara seminar akademik terbesar anjuran PTTI itu menyaksikan kehadiran luar biasa pelajar dari seluruh negara, dengan lebih 3,000 daripadanya adalah pelajar dari negeri Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, pencapaian kali ini bukan sahaja membanggakan pihaknya, malah menjadi indikator positif terhadap kesungguhan pelajar-pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan penting itu.

“Ini adalah seminar tradisi kami yang dinamakan Road Tour Score A Plus SPM, di mana pelajar-pelajar yang hadir adalah dalam kalangan calon SPM tahun ini dari seluruh negara.

“Di Selangor saja seramai lebih 3,000 pelajar menghadiri seminar ini. Lebih membanggakan, ini adalah pencapaian terbesar kami apabila berjaya mengumpulkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki SPM.

“Pencapaian ini juga menandakan satu perkembangan positif kerana pelajar-pelajar ini menunjukkan minat yang tinggi untuk datang belajar. Sesi hari ini juga kami mengajar banyak subjek, dan kita sedia maklum bahawa silibus pembelajaran kini tidak mudah,” katanya.

Tambahnya, pendekatan PTTI bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik menjawab soalan, malah fokus turut diberikan kepada subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik.

“Di PTTI, kami menekankan subjek seperti Sains Tulen dan Matematik dengan menyediakan teknik-teknik khusus yang dapat membantu para pelajar untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq hadir memberikan kata-kata motivasi dan pengalaman hidup mereka sebagai inspirasi buat para pelajar.

Sejak ditubuhkan, PTTI terus menjadi antara institusi yang diyakini ibu bapa dan pelajar dalam memberi bimbingan akademik yang konsisten dan berkesan. Menerusi pengalaman selama lebih sedekad, PTTI telah mencorakkan kejayaan ribuan pelajar.

“Pengalaman kami selama 10 tahun membangunkan PTTI ini telah melahirkan lebih 800,000 pelajar yang cemerlang dan Alhamdulillah, tahun ini sahaja seramai 400 pelajar SPM 2024 berjaya meraih keputusan ‘straight A’.

“Kami percaya melalui teknik dan formula yang kami perkenalkan kepada pelajar dapat membantu lebih ramai pelajar di luar sana.

“Program seminar seperti ini turut menjadi platform penting bagi membina keyakinan pelajar, selain memberi pendedahan awal terhadap strategi pembelajaran yang lebih efektif menjelang peperiksaan sebenar,” katanya.

Lebih istimewa, acara itu mendapat suntikan semangat luar biasa dengan kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan selebriti terkenal Bella Astillah yang tampil memberikan kata-kata motivasi dan pengalaman hidup mereka sebagai inspirasi buat para pelajar.

Antara personaliti terkenal yang turut hadir termasuklah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi.

Dalam masa sama, PTTI turut mencatat kejayaan berganda apabila berjaya merangkul dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Most Straight A’s in a Tuition apabila 400 pelajar PTTI memperoleh semua A serta Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition dengan 18,432 gred A dikumpulkan oleh pelajar PTTI. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas