Berita

PTTI beri tajaan RM100,000 kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq untuk pendidikan anak-anak kurang berkemampuan

PUSAT Tuisyen PTTI menyerahkan sumbangan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Syed Saddiq.
- Diterbit 5 Jun 2025 7:29 AM MYT

DALAM satu inisiatif murni yang memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan negara, Pusat Tuisyen PTTI menyerahkan sumbangan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor yang diterima oleh Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tajaan ini akan digunakan khusus untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Muar dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi tajaan itu, pelajar-pelajar terpilih akan menerima bantuan pendidikan termasuk akses kepada kelas tuisyen dalam talian kendalian PTTI serta kemudahan pembelajaran lain.

PUSAT Tuisyen PTTI menyerahkan sumbangan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Syed Saddiq menyifatkan tajaan itu sebagai satu bentuk pelaburan besar dalam masa depan anak-anak Malaysia, khususnya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.

“Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar. Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti.

“PTTI sendiri telah membuktikan rekod prestasi yang sangat baik, malah antara terbaik dalam mendidik anak-anak untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Farhana bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Syed Saddiq berkata demikian, ketika ditemui pada majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang diadakan di IDCC Shah Alam, pada Rabu.

Syed Saddiq berkata, daripada jumlah keseluruhan tajaan itu, sebanyak RM20,000 yang disalurkan secara langsung kepada beliau akan disumbangkan sepenuhnya semula kepada pelajar melalui pembelian komputer riba dan tablet yang akan diserahkan menjelang Hari Raya Aidiladha ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM20,000.

“Saya berdoa agar PTTI terus dapat mengangkat kualiti dan martabat pendidikan negara tercinta kita,” katanya.

Inisiatif ini juga membuktikan kepentingan pendidikan dalam memecahkan kitaran kemiskinan dan mengurangkan jurang peluang antara pelajar bandar dan luar bandar.

Syed Saddiq menegaskan bahawa peranan proaktif organisasi seperti PTTI amat penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, lebih-lebih lagi jika tinggal di kawasan pedalaman seperti Sungai Balang yang jauh dari pusat bandar. Inisiatif pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting untuk anak-anak kita ‘catch up’ dan mengurangkan jurang pendidikan,” katanya.

Tajaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PTTI dalam menyokong pendidikan negara menerusi pendekatan holistik dan inklusif, demi masa depan anak-anak Malaysia yang lebih cerah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Farhana, turut berkongsi komitmen organisasi tersebut dalam mendekati pelajar yang memerlukan sokongan akademik, terutama dalam subjek-subjek kritikal.

“Pengalaman kami lebih 10 tahun memimpin PTTI membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A pada SPM 2024 yang lalu

“Kami percaya dengan teknik dan formula PTTI, lebih ramai pelajar dapat dibantu untuk cemerlang, terutamanya dalam subjek Sains Tulen seperti Matematik, Fizik dan Kimia yang kita tahu amat mencabar,” katanya.

Pada majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI itu, hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara hadir pada program khas yang direka untuk membakar semangat calon SPM dengan bimbingan secara bersemuka daripada Pakar SPM PTTI.

Acara ini turut mendapat suntikan semangat luar biasa dengan kehadiran Syed Saddiq dan Bella Astillah yang tampil memberikan kata-kata motivasi dan pengalaman hidup mereka sebagai inspirasi buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Antara personaliti terkenal yang hadir termasuklah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas