Berita

PSSCM optimis, terus perkukuh seni Silat Cekak

Datuk Maideen Kadir Shah (tengah) ketika hadir pada sambutan Perayaan 55 Tahun PSSCM
- Diterbit 29 Disember 2020 3:39 AM MYT

SEJAK ditubuhkan tahun 1965, pelbagai cabaran dan evolusi telah dilalui oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) diasas oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad merupakan antara tokoh penting mengembangkan seni silat tradisi ini sehingga dikenali di seluruh alam Melayu.

Kini, setelah 55 tahun kewujudan, PSSCM terus berdiri dan diminati segenap lapisan rakyat tanpa mengira jantina sama ada di kampung mahupun bandar. Maka tidak hairanlah, persatuan tersebut memiliki lebih 80,000 ahli di seluruh Malaysia dan kini membuka 104 Pusat/Kelas Latihan termasuk di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Presidennya, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, proses transisi yang dilalui oleh silat cekak amat bermakna bukan sahaja di dalam aspek seni bela diri, malah turut berperanan membentuk jati diri pengamalnya dan membangunkan modal insan yang berketrampilan dalam pelbagai bidang.

PRESIDEN PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah (tengah) ketika hadir pada sambutan Perayaan 55 Tahun PSSCM, baru-baru ini.

Beliau berkata, anggapan setengah pihak bahawa seni bela diri itu ganas, untuk bergaduh dan tidak relevan dalam dunia semasa, ternyata tidak benar malah, seni tradisi itu turut merintis usaha dalam melahirkan modal insan berjasa dan berperanan membentuk warga yang berjiwa bangsa.

“Selain berperanan membentuk jati diri kalangan ahli Silat Cekak yang kini berada di pelbagai lokasi seluruh negeri, kami turut dianggotai oleh pelajar universiti dan kanak-kanak di sekolah yang minat dengan seni mempertahankan diri.

“Jadi, sambutan perayaan ulang tahun ke-55 bagi PSSCM ini sangat bermakna sekali dan signifikan dengan usia persatuan, kini turut bergerak seiring pencapaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) apabila mengadaptasi kemudahan Internet dalam menyediakan modul amalan serta latihan seni bela diri kepada ahli.

“Hari ini kita boleh melihat bagaimana sambutan ulang tahun ke-55 PSSCM dirai dengan gunakan aplikasi teknologi Internet yang melangkau batas masa dan lokasi, membokehkan perayaan kali ini diikuti semua ahli di 12 negeri bersiaran langsung di Facebook Live. Jadi, medium teknologi terkini telah dimanfaatkan sepenuhnya persatuan dalam menghubungkan sesama ahli kami seterusnya ia menjadi saluran kukuhkan silaturahim,” katanya.

Presiden PSSCM

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Sambutan Perayaan 55 Tahun PSSCM di Bangunan Silat Cekak, Jln. Sentul, Kuala Lumpur.

Pelbagai pengisian aktiviti menarik diadakan bagi meraikan sambutan jubli perak PSSCM tahun ini termasuk Progran Virtual Fun Run and Ride 2020 yang disertai 1,500 peserta terdiri daripada ahli Silat Cekak seluruh Malaysia selain orang ramai.

Acara yang bermula 1 hingga 25 Disember 2020,  mempertandingkan pelbagai kategori antaranya larian 10km; 15km; 21km dan 55km, sementara  acara berbasikal, kategori 21km; 25km, 50km dan 100km dengan penyertaan terbuka bagi sesiapa sahaja yang berminat memeriahkan sambutan tahun ini yang diraikan secara Virtual Live.

Sementara itu, latihan seni Silat Cekak juga telah berkembang pesat di cawangan negeri dan turut melalui tranformasi sehingga dikenali sebagai Silat Cekak, Silat Akademik.

Proses inovasi serta pembaharuan Silat Cekak juga berterusan dengan meliputi peranan dalam nilai budaya ilmu silat hingga mendapat pelbagai pengiktirafan serantau dan antarabangsa melalui kajian akademik dan penyelidikan ilmiah.Setakat ini, silat telah diiktiraf sebagai seni warisan serta pertahanan negara ketiga malah turut dinobatkan  sebagai Warisan Dunia oleh Unesco.

Dalam pada itu, selain sambutan, majlis tersebut turut diserikan dengan pelancaran buku novel, Panglima Ismail Pahlawan Kedah hasil karya oleh  Abdul Latif Talib.

Mengulas lanjut, penulisnya yang mesra dipanggil Pak Latif berkata, tempoh tiga bulan diperlukan bagi menyiapkan novel yang bergenre tokoh dan sejarah tempatan itu hasil bantuan bahan kajian daripada PSSCM.

“Insya-Allah buku novel tokoh pahlawan tanah air yang sebelum ini tidak dikenali, namun ia berjasa  besar dalam dunia seni silat tradisi, akan berada di pasaran awal tahun 2021 dengan harga hanya RM30 sebuah buku.

“Saya rasa karya ini perlu dibaca oleh semua kita terutama orang Kedah kerana memaparkan kisah tokoh tempatan yang telah berbakti besar kepada tanah air. Kisah ini ditulis berdasarkan fakta serta kajian sejarah diperakui sah, terbukti,” ujarnya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas