Berita

Proses pengumpulan bukti perlu melalui penelitian tinggi – Mohd Na’im

- Diterbit 30 Oktober 2024 4:44 PM MYT

PROSES pengumpulan bahan bukti dan sumber yang diyakini serta boleh disahkan dari sudut perundangan serta melalui penelitian yang tinggi antara punca Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mengambil tindakan lebih awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM telah melaksanakan kajian yang komprehensif dan lengkap bagi memastikan dakwaan terhadap GISB Holdings berasas dan mempunyai bukti yang kukuh.

“Ia lebih-lebih lagi bagi menangani sesuatu amalan atau ajaran yang berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang-undang.

“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dangan syariat Islam dan amalan tersebut dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan yang dikemukakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sebab JAKIM dan pihak berkuasa lain tidak mengambil tindakan tegas lebih awal terhadap GISB Holdings meskipun telah mengetahui dan mula menyiasat operasi mereka sejak tahun 2019 di samping pelbagai strategi dan langkah seterusnya untuk mencegah berulangnya isu sama.

Mohd Na’im berkata dalam hal ini, JAKIM telah bertindak mengikut ruang lingkup fungsi dan peranan yang ada dan tidak melakukan sesuatu tugas yang melangkaui fungsi pihak berkuasa.

“Kerjasama, khidmat nasihat dan perundingan dengan pihak berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri sentiasa dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan proses berjalan dengan lancar dan sempurna,”katanya.

Menurut Mohd Na’im, kerajaan menerusi JAKIM sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pembangunan dan kemajuan Islam di negara ini sentiasa melaksanakan pendekatan yang strategik dan perlu bagi memastikan fahaman menyimpang atau ajaran salah ini dapat dibendung secara tuntas.

“JAKIM berperanan dalam merancang dan melaksanakan kajian hukum dalam bidang akidah khususnya kajian-kajian berkaitan ajaran sesat dan ekstremis yang berpaksikan agama.

“Dalam hal ini, JAKIM secara konsisten melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi di peringkat negeri dan persekutuan secara menyeluruh iaitu Jabatan Agama Islan Negeri-Negeri (JAIN), Jabatan Mufti Negeri, PDRM, Jabatan/Bahagian Pendakwaan Syariah,Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“JAKIM juga mengambil pelbagai langkah bersepadu di dalam menangani dan membendung penyebaran kandungan yang membawa unsur ajaran sesat yang disampaikan melalui media sosial melalui jalinan kerjasama dengan SKMM,”katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas