Biz

Proses penapaian lambang keunikan Machi

WEI JIAN (tiga dari kiri) ketika memperkenalkan perisa kicap terbaharu
- Diterbit 5 Februari 2024 3:35 PM MYT

PERSAINGAN dalam industri pengeluar kicap dan sos di Malaysia bukanlah suatu yang asing memandangkan terdapat banyak jenama tempatan yang kukuh bukan sahaja mendominasi pasaran dalam negara bahkan telahpun melebarkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Menyedari saingan yang begitu hebat, kicap dan sos jenama Machi keluaran YC Bersatu Biotech Sdn Bhd (YC Bersatu) membawa kelainan apabila muncul sebagai syarikat pertama di negara ini yang menggunakan bioteknologi penapaian secara semula jadi.

Menurut Pengarah Urusannya, Kelvin Han Wei Jian, 28, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikatnya bekerja keras untuk memastikan soya yang dibancuh selama 180 hari untuk mendapatkan ekstrak terbaik dan berkualiti dalam pengeluaran kicap serta sos.

“Boleh dikatakan kicap sudah menjadi keperluan harian kita dan dalam kebanyakan masakan hari ini mesti ada kicap. Kanak-kanak juga menyukai kicap, ada yang tak boleh makan kalau tiada kicap.

“Oleh itu kami sentiasa pastikan kicap dan sos keluaran syarikat adalah sihat dan selamat untuk dimakan. Kami sangat menitikberatkan tentang kualiti dan prinsip syarikat iaitu tidak akan menghasilkan kicap tiruan dan sos,” katanya.

Tambahnya, syarikat miliknya yang beroperasi di Pulau Pinang sanggup membuat pelaburan tinggi dalam teknologi penapaian bagi mendapatkan kualiti yang terbaik seiring slogan mereka iaitu ‘1 Sos Dah Cukup Sedap’.

“YC Bersatu mahu menjadi penanda aras kepada pengeluaran produk yang berkualiti, tulen, bersih dan pada masa masih mengekalkan rasa tradisional. Atas kapasiti itu kami sentiasa melakukan pemeriksaan yang ketat kepada semua produk keluaran syarikat,” ujarnya.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi, usahawan muda yang menyambung legasi perniagaan keluarganya ini tidak menafikan dia menerima saingan sengit daripada pengeluar produk kicap bumiputera.

“Itu antara cabaran yang dihadapi namun bagi saya, selagi mana kita berusaha mempersembahkan produk yang terbaik maka ia adalah satu saingan yang sihat. Paling membanggakan Machi sudah pun mendapat sijil pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Selain itu, kami juga turut dianugerahkan sijil MeSTI, sijil GMP dan sijil HACCP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kongsinya YC Bersatu turut mendapat dua pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records iaitu First Soy Sauce Manufacturer To Achieve The Bio-Based Accelerator (BBA) Status dan First Soy Sauce Manufacturer To Achieve Bionexus Status pada 16 November lalu.

Memandang kehadapan, Wei Jian turut merancang untuk meluaskan empayar perniagaan dengan membukan restoran jenama Machi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas