Berita

Proses pembersihan pascabanjir di Klang, Shah Alam capai tahap 50 peratus – MB

PENGANUT Kristian, Anthony De Souza membersihkan rumah selepas kawasan kediamannya dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Muda hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 25 Disember 2021 12:39 PM MYT

PROSES pembersihan pascabanjir di beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam sudah mencapai tahap 50 peratus.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter rasminya memaklumkan susulan itu juga, beliau telah mengarahkan supaya proses tersebut disegerakan terutama bagi kawasan yang belum mencapai tahap memuaskan.

“Kita (kerajaan negeri) telah berhubung dengn beberapa pihak untuk tambah jumlah lori (untuk proses pembersihan). Saya juga memberi arahan agar proses kerjasama dengan sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dipermudahkan.

“Kerajaan negeri ingin selaraskan agar koordinasi lebih tersusun bagi mengelakkan pembaziran dan koordinasi ini juga penting bagi tujuan keselamatan para sukarelawan,” katanya menerusi ciapan tersebut. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas