Berita

Proses pembangunan semula Pasar Dato’ Keramat dijangka seawal suku pertama 2025

- Diterbit 5 Februari 2025 6:48 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menetapkan tahun 2025 untuk memberikan tumpuan kepada projek pembangunan semula Pasar Dato’ Keramat yang sebelum ini dibatalkan atas sebab tertentu.

Jelas beliau, dalam isu melibatkan pasar berkenaan, pembangunan semula adalah langkah terbaik bagi memastikan ia lebih selamat dan kondusif untuk semua.

“Pembangunan semula pasar ini boleh dilaksanakan secara teratur dan berfasa, dengan mengambil kira kepentingan aktiviti perniagaan sedi ada supaya tidak terjejas.

“Saya telah meminta DBKL untuk menyegerakan bancian bagi memuktamadkan bilangan peniaga dalam tempoh dua minggu agar perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan seawal suku pertama tahun ini bagi memastikan ia tidak tertangguh lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Zaliha berkata isu pembangunan semula pasar ini merupakan isu legasi yang perlu segera diselesaikan dan tak boleh tertangguh lagi.

“Selepas lawatan Perdana Menteri pada Julai lalu, beberapa langkah quick win telah dilaksanakan, antaranya menaik taraf tandas dan memperbaiki pendawaian elektrik.

“Bangunan pasar ini sudah terlalu lama dan uzur, menginjak ke usia 50 tahun dan turut menimbulkan risiko keselamatan kepada peniaga dan pengunjung.

“Kejadian kebakaran juga pernah berlaku sebelum ini dan ini menyumbang juga kepada risiko keselamatan,” katanya.

Beliau turut mahu melihat Pasar Dato’ Keramat sebagai sebuah pasar yang lebih selesa, bersih, selamat dan dilengkapi dengan fasiliti yang lebih moden demi kesejahteraan semua dan dalam masa yang sama dapat meningkatkat pendapatan peniaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas