JABATAN Muzium Malaysia (JMM) Labuan mengambil inisiatif mempromosikan produk pelancongan Labuan dalam majalah rasmi Malaysia Airlines, Going Places sebagai usaha menarik pelancong dalam dan luar negara ke pulau itu.
Menurut Pengarahnya, Muhammad Azam Adnan, usaha yang dilaksanakan itu mendapat kerjasama penulis majalah tersebut yang mahu membantu pihaknya mempromosikan produk pelancongan di Labuan.
Katanya, inisiatif serta usaha tersebut dilaksanakan berdasarkan kekayaan produk pelancongan di Labuan yang berpotensi mampu menarik pelancong luar ke pulau itu.

“Usaha untuk mempromosikan Muzium Labuan dan tempat menarik dalam majalah tersebut telah saya laksanakan sejak tahun lalu.
“Ini merupakan antara peranan pihak Muzium Labuan untuk membantu memacu semula sektor pelancongan dan ekonomi serta menarik kehadiran pelancongan ke pulau ini,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah beliau, majalah tersebut boleh didapati di semua penerbangan Malaysia Airlines, MASwings dan Firefly sekali gus ia turut membuka ruang promosi kepada pengunjung dalam dan luar negara.
“Secara tidak langsung mereka yang membaca majalah tersebut akan mengetahui kelebihan produk pelancongan yang ada di Labuan,” katanya.
Antara produk pelancongan yang dipromosikan adalah ketiga-tiga muzium di Labuan, lokasi riadah menarik dan bersejarah seperti Labuan Chimney Trail, Surrender Point, Pulau Rusukan Besar dan beberapa restoran makanan laut.
Sementara itu, Pengarah Tourism Sabah dan Labuan, Haryanty Abu Bakar menyokong penuh usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Muzium Labuan untuk memacu ekonomi pulau bebas cukai itu.
“Usaha yang baik ini sudah tentunya akan memberikan impak yang tinggi dalam menggalakkan pelancong domestik mahupun antarabangsa ke Labuan. Ia turut meningkatkan hasil ekonomi pengusaha-pengusaha pelancongan termasuklah peniaga kecil dan sederhana.
“Kita berharap usaha ini akan diteruskan agar pelancong luar dapat mengetahui keunikan dan kebudayaan yang ada di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU