KERAJAAN Persekutuan merancang untuk melantik semula kontraktor bagi menyiapkan projek yang telah ditamatkan selain membuat penilaian yang lebih terperinci bagi memulakan semula projek pengindahan yang sebelum ini dibatalkan selain penilaian semula projek pra-pelaksanaan berhubung kegagalan menyiapkan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu diambil bagi menyiapkan projek berkenaan yang mencatatkan kemajuan pada 81 peratus selain telah mencapai status sebagai ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi sebagaimana yang diidamkan ketika diilhamkan dahulu.
“Saya turut mengikuti laporan-laporan media yang kebanyakannya memaparkan projek RoL sebagai ‘tidak berjaya’ dan ‘tidak akan dapat disiapkan’. Saya lebih suka memandang laporan ini daripada sudut positif, kerana saya yakin laporan-laporan media ini sebenarnya adalah manifestasi orang awam yang ingin melihat keindahan sungai dalam bandar melalui projek RoL.
“Dalam hubungan ini, saya akan memastikan supaya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi pelaksana meneruskan penyiapan projek RoL ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Projek RoL mendapat perhatian ramai berikutan mendapat teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung status terkini yang dijangkakan gagal disiapkan tahun ini kerana hingga Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
Antara lain, lampiran itu menyebut semua objektif RoL belum dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta, malah kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2KM Sungai Gombak.
Zaliha berkata RoL merupakan projek pemuliharaan sungai di dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi yang pernah dilaksanakan di Malaysia, iaitu RM4.363 bilion selain pelbagai pengiktirafan yang diterima dan telah mentransformasikan Bandaraya Kuala Lumpur susulan kejayaannya mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa
“Ia boleh dilihat menerusi penyenaraian World’s 10 Best Waterfront Districts oleh Independent, iaitu portal berita dalam talian United Kingdom selain pernah dipilih sebagai salah satu daripada 10 landskap pancutan air terbaik di dunia oleh The Independent pada tahun 2019; The International Award for Liveable Communities 2021 bagi Projek River of Life (Presint 7).
“Projek ini turut mendapat penarafan empat bintang menerusi Universal Access Design Audit by the Universal Design Auditors from the International Islamic University of Malaysia, November 2019, President Award Transforming Kuala Lumpur Heritage Quarters Urban Landscape, 2018, Gold Award, Singapore Landscape Architecture Award 2015 River of Life Master Plan dan Gold Award, Design Excellence (Medium Scale Category) 2022 for The Rejuvenation of Titiwangsa Lake Garden from Malaysian Institute of Planners,” katanya.
Menurut Zaliha, penilaian semula nilai tanah yang telah dilaksanakan pada 3 April 2023 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan (JPPH, MOF) mendapati bahawa nilaian kegunaan tertinggi dan terbaik tanah-tanah RoL adalah sebanyak RM11.4 bilion berbanding nilaian pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM6.1 bilion.
“Ini menunjukkan, telah berlaku peningkatan sebanyak RM5.3 bilion atau 87 peratus kenaikan bagi keseluruhan tanah RoL.
“Hasil kajian C.H Wiliam Talhar & Wong pada tahun 2015 merupakan rujukan dan asas kepada pelan pembangunan RoL yang mana perbincangan bersama semua agensi Kementerian atau Jabatan Pemilik (KJP) yang terlibat akan diadakan selepas projek siap sepenuhnya untuk penetapan hala tuju baharu komponen pembangunan tanah.
“Ingin ditegaskan bahawa, sebarang keputusan muktamad berkaitan pembangunan lot-lot tanah adalah di bawah bidang kuasa Pegawai Pengawal KJP/ pemilik tanah dan tertakluk kepada kemampuan kewangan atau dasar semasa kerajaan,” katanya.
Zaliha berkata bagi menjayakan pemuliharaan sungai secara tuntas, komitmen whole of nation sangat diperlukan bukan sahaja daripada pihak kerajaan malah daripada warga kota, kontraktor, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan orang ramai demi merealisasikan hasrat untuk meningkatkan kualiti air sungai di sekitar Kuala Lumpur demi kelestarian alam sekitar. – WILAYAHKU