Berita

Projek ECRL capai kemajuan 74 peratus

- Diterbit 6 Disember 2024 11:07 AM MYT

STATUS kemajuan bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan empat buah negeri yang terletak di Pantai Timur dan di sebahagian Pantai Barat iaitu negeri
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai 74.43 peratus secara keseluruhannya sehingga bulan Oktober 2024.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa status kemajuan projek sepanjang 665 kilometer (KM) berdasarkan pecahan mengikut negeri-negeri sepanjang jajaran ECRL.

“Bagi negeri Kelantan kini sudah 84.02 peratus; Terengganu – 88.32 peratus, Pahang – 76.92 peratus; dan Selangor – 43.98 peratus,” katanya.

MOT berkata demikian ketika menjawap soalan Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali (BN-Pekan) bertanyakan perkembangan semasa kemajuan projek pembinaan ECRL di setiap negeri yang terlibat dan sejauh manakah pelaksanaan projek ini mampu menarik pelaburan berskala besar yang mampu membangunkan ekonomi
setempat dan nasional di parlimen semalam.

Menurut MOT, projek ECRL merupakan projek infrastruktur mega yang bakal menjadi tulang belakang jaringan pengangkutan awam dan juga perkhidmatan kargo yang menghubungkan negeri-negeri utama di Pantai Timur dan juga Pantai Barat.

“Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan pihak kontraktor utama China Communications Construction Company (CCCC) dengan kerjasama Malaysian Investment Development Authority (MIDA) sedang giat mempromosikan peluang pelaburan yang dijangka mampu memberi hasil pulangan yang tinggi setelah ECRL siap dan beroperasi.

“Projek ECRL juga memberi fokus kepada kemudahan logistik bagi kawasan-kawasan industri utama sebagai contoh Kawasan Perindustrian Gebeng di daerah Kuantan yang berhampiran dengan Stesen ECRL Kuantan Port City (KPC), Kawasan Perindustrian Teluk Kalong dan Kawasan Perindustrian Kerteh di daerah Kemaman yang berhampiran di Stesen Chukai dan Stesen Kemasik,” katanya.

MOT berkata dengan kemudahan logistik yang telah disediakan oleh projek ECRL, ianya dijangka akan dapat menarik lebih ramai pelabur bernilai tinggi.

“Sebagai contoh pemeteraian memorandum persefahaman di antara MRL dengan PERODUA serta MRL dengan Kuantan Port pada 10 Jun 2024.

“Kerjasama ini turut menjadikan kawasan sekitar stesen ECRL Paya Besar, Kuantan sebagai hub pengeluar bagi produk PERODUA manakala Pelabuhan Kuantan dapat dimanfaatkan untuk menerima input pembuatan dari Jepun, Taiwan, dan Korea sebelum dihantar ke Bandar Serendah melalui perkhidmatan kargo ECRL,” katanya.

Justeru itu, MOT berkata pada masa ini, fokus utama pihak MRL dan CCCC adalah untuk menyiapkan projek dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

“Tempoh penyiapan Projek ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ITT Gombak, Selangor seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026 manakala tempoh siap Projek ECRL Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor pada 31 Disember 2027,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas