Berita

Program YESS iktiraf koperasi sekolah

- Diterbit 16 November 2023 11:23 AM MYT

PROGRAM Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) peringkat kebangsaan Tahun 2023 merupakan antara inisiatif dalam mengiktiraf koperasi sekolah sebagai ejen pembudayaan keusahawanan yang berkesan di peringkat sekolah.

Menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), program tersebut diadakan semula pada tahun ini setelah empat tahun ditangguhkan penganjurannya sejak megara dilanda pandemik COVID-19.

“Pada kali ini kita berjaya menarik penyertaan sebanyak 14 buah koperasi sekolah mewakili setiap negeri di seluruh negara.

“Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 November ini dan ia juga telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada program kokurikulum di sekolah yang dipertandingkan di peringkat negeri seterusnya di kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, Program YESS merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi SKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Melalui platform YESS, koperasi sekolah berpeluang untuk mengetengahkan idea koperasi untuk dinilai dari segi potensi penggunaan dalam memenuhi keperluan anggota dan masyarakat, potensi pengeluaran dan pengkomersialan sebelum diiktiraf sebagai produk terbaik yang dihasilkan oleh koperasi sekolah.

“Berdasarkan data interim sehingga Jun lepas yang dikeluarkan SKM, terdapat 2,485 koperasi sekolah dengan keanggotaan lebih kurang dua juta orang,” ujarnya.

Terdahulu, terdapat enam kategori anugerah yang dipertandingkan dalam Program YESS tahun ini iaitu Anugerah Projek Terbaik, Persembahan Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Pengurus Terbaik, Reruai Terbaik dan Anugerah Khas Juri dengan Koperasi Sekolah Menengah Koperasi (SMK) Desa Kencana Berhad, Sabah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Projek Terbaik.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kuskop, Datuk Zamri Salleh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas