DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam mentadbir dan menjaga kelestarian masyarakat di Kuala Lumpur yang kini sudah mencecah kira-kira 1.96 juta penduduk.
Dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga kota, DBKL secara berterusan menambahbaik kualiti perkhidmatannya bagi memastikan masyarakat dapat hidup dengan selesa dan selamat menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan serta disebarluas melalui pelbagai medium.
Untuk itu, bagi memperkukuh hubungan di antara DBKL dengan warga kota, pihak pengurusan DBKL memutuskan untuk menganjurkan dua program touch point iaitu Program Temu DBKL dan Program Teh Hijau Kuala Lumpur di mana ia merupakan program utama sepanjang tahun 2024.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman berkata Program Temu DBKL akan diadakan pada setiap bulan pada hari Sabtu di lokasi-lokasi yang berbeza di 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur mengikut tarikh yang akan dimaklumkan sementara Program Teh Hijau Kuala Lumpur yang berkonsepkan Hijau Rendah Karbon itu akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dengan kekerapan satu kali sebulan.
“Melalui program seumpama ini, DBKL dapat menyebarluas kepelbagaian perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kesemua 25 Jabatan di DBKL.
“Ia merupakan salah satu aktiviti penjenamaan semula DBKL melalui program berbentuk komuniti yang diadakan bertujuan untuk mendekatkan DBKL dengan warga kota secara fizikal disamping meningkatkan pengetahuan dan pemahaman masyarakat mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan.
“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan reputasi dan kepercayaaan warga kota terhadap DBKL melalui penyediaan perkhidmatan secara terus dan bersasar kepada komuniti setempat serta meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui penglibatan secara proaktif dan berkesan dalam aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Temu DBKL dan Program Teh Hijau Kuala Lumpur di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Perkutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim serta wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta dan lain-lain.
Pada majlis tersebut, pelbagai pengisian aktiviti menarik diadakan antaranya cabutan bertuah, pameran perkhidmatan dari setiap Jabatan DBKL, Jualan Rahmah dan banyak lagi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Kamarulzaman turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program ini antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Radio KLFM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan YWP Media.
Pendekatan baharu
Kedua-dua program tersebut merupakan antara pendekatan baharu dan inisiatif baik kepada warga kota untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan DBKL sekali gus merapatkan jurang di antara kedua belah pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata dua program tahunan itu merupakan pendekatan baharu dan inisiatif baik kepada warga kota khususnya di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung selain mendapatkan maklumat menerusi program yang dianjurkan oleh DBKL bersama agensi lain.
“Ia juga dapat merapatkan jurang di antara komuniti dengan pihak terbabit. Sebelum ini, banyak aduan yang kita terima daripada komuniti berhubung tindakan, pelaksanaan dan sebagainya, jadi inilah cara yang kita ambil dari sudut underground untuk rakyat mengambil manfaat melalui program yang dilakukan termasuk memberi pandangan, cadangan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zaliha berkata program Temu DBKL wajar diberi pujian kerana ia mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman warga kota mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBKL secara lebih meluas.
“Saya berharap melalui program Temu DBKL ini pihak DBKL juga dapat mengumpul maklumat tentang keberkesanan penyampaian perkhidmatan sedia ada di DBKL dari rakyat yang hadir,” ujar beliau berharap program sebegini dapat memberi manfaat kepada warga kota.
Sementara itu, dalam keghairahan untuk terus bergerak ke hadapan dengan kepesatan kemodenan, Zaliha berkata kota metropolitan seperti Kuala Lumpur ini juga perlu dijadikan sebagai bandar raya hijau atau bandar rendah karbon yang mempunyai impak minimal ke atas alam sekitar.
“Program Teh Hijau Kuala Lumpur akan menerapkan elemen hijau dan rendah karbon selaras Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG oleh United Nations. Pada dasarnya juga, Malaysia telah menetapkan sasaran pengurangan 45 peratus (%) pelepasan intensiti karbon daripada KDNK menjelang 2030 berbanding tahap pada tahun 2005.
“Secara umumnya,hanya sebilangan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja yang telah menetapkan sasaran pengurangan karbon di kawasan mereka,” jelasnya usaha untuk menjadikan Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon adalah salah satu keutamaannya. – WILAYAHKU