Berita

Program Teach The Needs 4.0 bantu pelajar kuasai subjek teras, peserta isi masa terluang

EKSEKUTIF kanan PREPKOM YWP, Mohd Farhan Azhari (duduk dua kiri) bersama para peserta dan sukarelawan UPM di PPR Hiliran Ampang pada Ahad.
- Diterbit 14 April 2023 2:00 AM MYT

INISIATIF Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi latihan pembelajaran literasi dan Numerasi menerusi Program Teach The Needs
4.0 disambut baik ibu bapa dan pelajar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang.

Rata-rata ibu bapa mengakui program tersebut dapat meningkatkan kemahiran dan tahap penguasaan anak-anak mereka terhadap subjek teras melalui latihan serta aktiviti yang dijalankan.

Menurut Ramiatun Kasil, 48, ia dapat menggalakkan anak-anak mengisi masa terluang terutama pada hujung minggu di samping meningkatkan keyakinan pelajar untuk menguasai subjek tertentu dengan lebih mudah.

“Saya difahamkan peserta diberi pendedahan tentang kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) yang memfokuskan kepada subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik,” katanya kepada Wilayahku.

Bagi Rozitahalina Mohd Hanafiah, 45, anaknya Muhammad Syaheed Abdullah, 9, begitu seronok dan tertarik untuk mengikutinya lagi pada masa akan datang.

“Saya lihat Syaheed lebih menguasai kemahiran penulisan dalam Bahasa Inggeris cuma dia agak kurang mahir untuk bercakap. Jadi, saya harap dengan aktiviti dan perkongsian yang diterapkan, ia akan mengasah semula kelemahan dan sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk bertutur,” ujarnya.

Sementara itu, sukarelawan UPM bagi program tersebut, Muhammad Haziq Muhamad Zin, 20, berkata para peserta menunjukkan
perubahan positif terhadap tahap penguasaan bagi subjek tertentu menerusi aktiviti dan latihan yang dilakukan.

“Sedikit mencabar buat kami untuk menguruskan pelajar pada hari pertama kerana mereka agak pasif dan kurang berinteraksi antara satu sama lain terutama ketika melakukan latihan dalam kumpulan namun pada hari seterusnya, mereka semakin kreatif dan selesa untuk belajar dan melakukan aktiviti bersama-sama,” ujarnya.

Terdahulu, Program Teach The Needs 4.0 adalah anjuran pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan, UPM dengan kerjasama Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) yang diadakan sebanyak tiga siri iaitu pada 29 Mac, 2 dan 9 April lalu.

Ia melibatkan penyertaan seramai 30 pelajar sekolah rendah dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) di PPR Hiliran Ampang yang diberi perkongsian skop pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas