BAGI meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bacaan dan amalan yang sempurna dalam solat lima waktu, 200 peserta terdiri daripada murid dan guru dari 38 sekolah kebangsaan di daerah Keramat menyertai Program Pemantapan Solat & Klinik Fatihah baru-baru ini.
Program yang dianjurkan oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (LKPIM WPKL) ini turut disokong oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tersebut disertai oleh murid tahun 5 dan 6 terpilih daripada kesemua sekolah rendah di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur.
Menurut Pengerusi LKPIM WPKL, Puan Seri Hanifat Harun berharap peserta terlibat dapat menjadi contoh kepada murid lain di sekolah.
“Sebanyak empat program dijadual dilaksanakan mengikut daerah pendidikan di WP Kuala Lumpur iaitu Daerah Sentul, Keramat, Pudu dan Bangsar.
“Setiap program dijangka dihadiri seramai 190 hingga 220 peserta terdiri daripada murid-murid yang terpilih dan guru pengiring,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengalu-alukan sumbangan dana dari syarikat-syarikat korporat bagi menambah baik program serta memperluaskannya pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengurus Kanan YWP, Datin Ts Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata YWP berbangga di atas kerjasama bersama LKPIM WPKL yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan komuniti anak-anak Wilayah Persekutuan khususnya pelajar sekolah.
“Insya-Allah kita akan terus menaja lagi dua program yang akan diadakan dalam masa terdekat sekali gus membuktikan pihak kita benar-benar menyantuni pelajar-pelajar dalam memastikan pembentukan moral dan Islam dalam diri mereka adalah kukuh supaya menjadi warganegara Malaysia yang hebat,” ujar beliau.
Terdahulu, program yang diadakan di Masjid Mu’adz Bin Jabal, Setiawangsa turut mendapat kerjasama Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid Akademi Yayasan Nasyrul Quran Putrajaya. – WILAYAHKU