Berita

Program Ihsan MADANI bawa manfaat kepada masyarakat

Foto: Dr Wan Azizah Wan Ismail
- Diterbit 22 Februari 2025 3:32 PM MYT

PROGRAM Ihsan MADANI membawa manfaat kepada masyarakat melalui pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pembangunan komuniti setempat.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata, salah satu usaha utama dalam program tersebut adalah membaik pulih rumah asnaf yang telah dijalankan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP).

“Penduduk tersebut, Rokiah Ismail seorang yang uzur dan memerlukan tempat tinggal yang lebih selamat.

“Dengan perbelanjaan mencecah RM30,000, rumah tersebut telah berjaya dibaik pulih dan diserahkan kembali kepada pemiliknya,” katanya semasa melancarkan Majlis Ihsan MADANI di Apartmen Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan usaha murni tersebut antaranya Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Bandar Tun Razak dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Dalam majlis sama, seramai sembilan orang pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) turut menerima Skim Bantuan Awal sebanyak RM700 seorang daripada YWP.

“Bantuan ini diberikan secara one-off untuk membantu pelajar memulakan pengajian di peringkat Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA dan IPTS.

“Selain Skim Bantuan Awal IPT, tiga individu lain turut menerima Bantuan Perubatan YWP bagi meringankan beban kos rawatan dan perubatan mereka.

“Bantuan ini diberikan berdasarkan keperluan pesakit untuk mendapatkan rawatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, 100 orang penduduk Desa Tasik yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan turut menerima Bakul Makanan MADANI daripada YAPEIM.

“Kerajaan komited dalam menjaga kebajikan rakyat melalui dasar Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan sosial dan pembangunan masyarakat.

“Saya juga mengalu-alukan kerjasama lebih banyak pihak dalam memastikan bantuan seperti ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai penerima manfaat pada masa akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas