Berita

Program Bicara @ Muzium fokus sejarah peradaban Labuan

AZAM (empat dari kiri, belakang baris kedua) bersama barisan penceramah dan para pelajar pada Program Bicara @ Muzium Monumen Chimney sebagai Mercu Tanda Sejarah Labuan di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL baru-baru ini.
- Diterbit 19 Oktober 2023 8:05 PM MYT

PROGRAM Bicara @ Muzium Monumen Chimney sebagai Mercu Tanda Sejarah Labuan yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mempromosikan sejarah dan peranan Muzium Chimney.

Pengarah Muzium Labuan, Muhammad Azam Adnan berkata ia merupakan tapak ikon kebangsaan perlombongan arang batu yang dikesan antara terawal pernah wujud di Malaysia dan yang kedua tertua di Asia Tenggara.

“Muzium Chimney turut disenaraikan sebagai salah satu tapak budaya dalam Geopark Kebangsaan Labuan yang diisytiharkan secara rasmi pada 16 Disember 2021.

“Menara Chimney yang berusia lebih 100 tahun merupakan main entrance kepada geotapak-geotapak di kawasan Tanjung Kubong,” kata beliau ketika berucap pada majlis yang dirasmikan oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Beliau berkata topik Monumen Chimney Sebagai Mercu Tanda Sejarah Labuan merupakan pendekatan signifikan yang dipilih memfokuskan tentang sejarah awal peradaban Labuan daripada perspektif penyelidikan monumen dan konservasi.

Terdahulu, seramai 200 orang peserta membabitkan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah menengah kebangsaan menghadiri program signature Jabatan Muzium Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas