BARISAN Nasional (BN) menghargai kerjasama dihulurkan oleh rakan-rakan parti daripada Pakatan Harapan (PH) yang turut memberikan sumbangan kepada kemenangan Syed Hussein Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, semalam.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, dengan mandat besar yang diterima calon BN itu, ia memperkuatkan lagi tekad parti untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“BN menzahirkan kesyukuran atas kemenangan penuh bermakna Syed Hussein pada PRK DUN Mahkota.
“Kemenangan ini merupakan satu amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada Barisan Nasional untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, bagi pihak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Dewan Tertinggi, BN merakamkan jutaan terima kasih kepada para pengundi DUN Mahkota atas sokongan yang diberikan.
Katanya, setinggi penghargaan buat semua jentera parti BN yang berkampung sepanjang tempoh kempen dengan satu tekad untuk memenangkan calon parti.
“Tidak ketinggalan kerjasama yang dihulurkan oleh rakan-rakan parti daripada PH memberikan sumbangan terhadap kemenangan yang cukup bermakna ini. Kepada BN Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, kemenangan ini adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Johor.
“Semoga kemenangan ini sempena dengan sambutan 50 tahun BN akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak ke hadapan membina kecemerlangan Barisan Nasional yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat,” katanya.
BN mempertahan DUN Mahkota apabila Syed Hussien menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi. – WILAYAHKU