DALAM usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam, Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) telah dilancarkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia adalah satu inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Fahmi berkata perkhidmatan komunikasi kini merupakan sebahagian daripada keperluan asas yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.
“Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita telah saksikan peningkatan krisis dan bencana sama ada bersifat semula jadi seperti banjir atau tanah runtuh yang banyak dipengaruhi oleh kesan perubahan iklim global mahupun bencana buatan seperti kebakaran atau gangguan teknikal.
“Situasi ini kadangkala turut menjejaskan perkhidmatan komunikasi sedangkan pada saat itulah komunikasi merupakan aspek paling kritikal.

“Maka PRIME dibangunkan sebagai sistem strategik untuk memastikan keupayaan komunikasi semasa operasi dapat diteruskan,” katanya ketika berucap merasmikan PRIME di ibu pejabat MCMC pada Isnin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi berkata PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu yang direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh MCMC serta pasukan penyelamat ketika situasi kecemasan dan bencana.
“PRIME bukan sekadar sebuah kenderaan. PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak yang menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron.
“PRIME berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan operasi di lokasi yang mencabar.
“Dalam keadaan liputan komunikasi sedia ada yang terganggu atau terbatas, PRIME membolehkan komunikasi kritikal diteruskan bagi tujuan koordinasi penyelamat, pengurusan bantuan serta penyampaian maklumat bersama agensi terlibat.
“Hal ini amat penting bagi memastikan tindak balas yang pantas dan berkesan dapat dilaksana walaupun di kawasan terpencil atau sukar liputan,” katanya. – WILAYAHKU