PRESTASI Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat berjaya mengemudi Kerajaan Perpaduan sejak setahun lalu selain mampu menangani isu politik dilihat faktor utama pembangkang melemparkan fitnah terhadap beliau.
Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM, Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar@Saabar berkata jalinan kerjasama di antara pakatan pembangkang yang tidak utuh untuk berdepan dengan kerajaan turut menjadi faktor bahawa berita berbaur fitnah terpaksa dihalakan kepada kerajaan.

“Setakat hari ini dasar-dasar yang ada, soal good governance dan tatakelola serta mekanisme penyampaian awam dilihat semakin meningkat, oleh itu pembangkang dilihat tercari-cari isu yang boleh digunakan untuk mencalar imej kerajaan sedia ada dan Perdana Menteri termasuklah mengeluarkan kenyataan fitnah,” katanya kepada Wilayahku ketika dihubungi pada Rabu.
Jelas Suhaimee, meskipun serangan yang dilempar bertali arus termasuk cubaan menjadikannya isu politik, namun akhirnya perkara yang dibawa oleh golongan ini dilihat tidak berjaya mengikat pemikiran rakyat.
“Mereka cuba jadikan ia sebagai isu politik misalnya peningkatan harga barang beberapa bulan lalu namun ia telah berjaya dikawal dengan baik di pihak kerajaan.
“Keduanya, isu mengenai rancangan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar, ia adalah pendekatan baharu di bawah inisiatif Madani, namun pembangkang hari ini dilihat terdesak sehingga mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah,” ujar beliau.
Suhaimee berkata terbaharu seorang ahli parlimen yang mengaitkan keluarga Lim dengan Chin Peng termasuk bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga dillihat satu tindakan terdesak kerana kenyataan yang dikeluarkan itu tidak mempunyai alasan yang kukuh.
“Saya beranggapan itu mungkin satu strategi untuk mendekatkan semula masyarakat khususnya orang Melayu kepada pembangkang, namun ia berkemungkinan memberikan risiko kepada mereka kerana pasti akan ada implikasi undang-undang selain fakta sejarah kini begitu mudah untuk diakses bagi meneliti kesahihan satu-satu berita,” katanya.
Menurut Suhaimee, sememangnya tindakan setiap ahli politik akan menggunakan isu untuk menyerang kerajaan dan mempengaruhi pemikiran rakyat atau pengundi kerana ia telah menjadi budaya politik dalam kalangan parti-parti politik ini.
“Kita akui apabila banyak berita politik yang sensasi ia agak sukar untuk membezakan antara fitnah atau fakta. Oleh itu, ia dilihat cubaan mereka untuk memanipulasi apa juga isu untuk menangkis persepsi negatif yang terpalit terhadap isu yang sedang mereka hadapi,” katanya. – WILAYAHKU