Berita

Prestasi Malaysia diiktiraf Bank Dunia

KEBERKESANAN proses pendaftaran pindah milik tanah yang cekap telah menyumbang kepada prestasi ekonomi dan daya saing negara dalam sektor pelaburan hartanah sebagai memudahcara pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 25 Ogos 2020 2:27 AM MYT

PINDAH milik tanah merupakan antara urusniaga di bawah Kanun Tanah Negara 1965 yang merujuk kepada transaksi pindah milik tanah daripada pemilik berdaftar kepada pihak lain. Antara asas berlakunya pindah milik tanah ialah jual beli dan pemberian atas dasar kasih sayang.

PENCAPAIAN Malaysia di dalam Indikator Registering Property. Sumber: Doing Business 2020 Economy Profile

Bagi melicinkan lagi urusan tersebut, mulai tahun 2010, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) telah memperkenalkan Pindahmilik Tanah 1 Hari (PMT 1 Hari) dan ianya dilaksanakan oleh semua pejabat tanah di seluruh Semenanjung Malaysia.

Di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL), pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan prestasi PMT
1 Hari sejak tahun 2010 dan sehingga kini telah berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus bagi semua urusan PMT 1 Hari.

JUMLAH Transaksi Pindahmilik Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam tempoh 5 tahun.

 

Tempoh 1 hari tersebut merujuk kepada pendaftaran permohonan pindahmilik yang lengkap dan layak didaftarkan di bawah undang-undang dalam tempoh 24 jam dari masa terimaan di
kaunter sehingga penyerahan pindahmilik tersebut didaftarkan.

Pencapaian dan kecekapan proses mendaftar pindah milik tanah oleh PPTG WPKL dinilai oleh World Bank secara tahunan melalui Laporan Doing Business.

Malaysia berada di kedudukan ke-33 daripada 190 negara untuk Indikator Registering Properties dalam laporan Doing Business 2020 dan pencapaian ini menunjukkan keberkesanan proses pendaftaran pindah milik tanah yang cekap telah menyumbang kepada prestasi ekonomi dan daya saing negara dalam sektor pelaburan hartanah sebagai memudahcara pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.

Antara agensi lain turut dinilai dalam penarafan ini termasuk firma guaman, JKPTG, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

PROSEDUR Pendaftaran Hartanah di Malaysia.  Sumber: Doing Business 2020 Economy Profile

e-Tanah

Dalam pada itu, selaras penggunaan sistem e-Tanah yang telah dikuatkuasakan pemakaiannya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 19 Jun 2017, pelaksanaan PMT 1 Hari turut diperluaskan kepada hak milik strata.

PPTG WPKL secara proaktif telah menambahbaik tempoh proses pendaftaran pindah milik strata daripada 30 hari kepada 1 hari. Hasilnya, pada tahun ini, PPTG WPKL berjaya mencatat prestasi 100 peratus pendaftaran pindahmilik strata 1 hari bagi setiap permohonan yang lengkap dan layak didaftarkan mengikut undang-undang.

Fokus utama PPTG WPKL dalam meningkatkan kecekapan proses pendaftaran pindah milik di Kuala Lumpur bukan sahaja bagi meningkatkan ekonomi dan menarik pelaburan asing, tetapi
juga sebagai menambahbaik perkhidmatan kepada pelanggan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas