PRESIDEN Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 4 Mei ini.
Menurut Wisma Putra, ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada 4 April 2021.
Jelasnya, beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kabinet Presiden Kosovo.
“Dr. Osmani Sadriu akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, dan diikuti dengan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan akan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Wisma Putra, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.
“Bagi meraikan Dr. Osmani Sadriu dan delegasi, Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana,” katanya.
Malaysia telah mengiktiraf Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008 dan merupakan antara negara di Asia yang pertama mengambil pendekatan tersebut.
Hubungan diplomatik rasmi seterusnya telah ditubuhkan pada 18 Mac 2021.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM28.55 juta, dengan jumlah eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta, manakala jumlah import daripada Kosovo sebanyak RM2.63 juta.
Eksport utama Malaysia ke Kosovo adalah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta hasil kilang, manakala import dari Kosovo terdiri daripada bahan mentah serta batuan separa berharga. – WILAYAHKU