Berita

Precint Rangers perantara PBT dan komuniti setempat

SEKITAR Majlis Penghargaan Ahli Paling Aktif Precint Rangers yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 30 Jun 2023 8:00 AM MYT

SENTIASA mengutamakan hak dan kepentingan warganya, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil tindakan proaktif mewujudkan ahli Precint Rangers yang berperanan untuk memastikan kawasan kejiranan di Putrajaya sentiasa selamat dan selesa untuk didiami.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, TPr Norzita Abdul Razak, Precint Rangers diwujudkan bertujuan untuk membina jaringan komunikasi yang baik di antara warga PPj dan orang awam melalui sikap keprihatinan yang dipupuk dengan pemantauan kawasan kediaman.

“Melalui cara itu, masyarakat akan berasa didengari dan isu serta permasalahan dapat diselesaikan dengan cepat sebelum mereka memfailkan aduan rasmi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Norzita berkata saluran aduan proaktif Precint Rangers menggunakan sepenuhnya medium aplikasi WhatsApp dalam menyalurkan maklumat antara ahli, urus setia aduan dan penyelia serta penyiasat Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) bagi memastikan komunikasi lebih mudah dan pantas.

“Mereka bertindak sebagai mata-mata kepada kami bagi membantu pemantauan kerosakan atau apa sahaja yang boleh memudaratkan kepentingan awam sebelum keadaan menjadi lebih serius,” jelas beliau sepanjang Januari hingga Mei 2023, sebanyak 833 isu serta permasalahan telah diterima dan sebanyak 505 aduan daripadanya telah berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga hari.

Precint Rangers dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A bagi ahli yang menetap di Presint 5, 6, 8 dan 9 dengan dianggotai oleh seramai 122 orang ahli, Zon B bagi ahli yang menetap di Presint 10, 11, 12 dan 14 dengan jumlah ahli seramai 164 orang dan Zon C iaitu ahli yang menetap di Presint 15, 16, 17 dan 18 dengan bilangan seramai 205 ahli.

Terdahulu, sebagai usaha menghargai sumbangan, komitmen dan kerjasama yang diberikan mereka, pihak PPj mengadakan Majlis Penghargaan Ahli Paling Aktif Precint Rangers bagi bulan Januari hingga Mei 2023 bertempat di Grand Garden Pavillion, Hotel Pulse Grande Putrajaya baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas