PRASARANA Malaysia Berhad bertindak segera memperketat proses semakan iklan pada aset kendaliannya susulan timbulnya reaksi awam terhadap visual iklan produk penjagaan diri di salah sebuah tren Rapid KL.
Menurut kenyataan syarikat itu, langkah segera diambil bagi memastikan kandungan visual dari mana-mana pengiklan tidak menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya dalam aspek kaum, agama dan sosial.
“Visual iklan tersebut yang mempromosikan produk penjagaan diri turut menggambarkan pelbagai latar belakang rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam. Namun, kami akui terdapat kekurangan dalam penilaian awal,” menurut kenyataan itu hari ini.
Prasarana menjelaskan bahawa iklan terbabit telah melalui proses semakan dalaman dan luaran, namun tetap mengambil maklum balas orang ramai secara serius apabila ia berpotensi disalah tafsir sebagai menyasarkan golongan tertentu.
Ekoran itu, visual tersebut telah ditarik balik dari tren yang beroperasi di Laluan Ampang/Sri Petaling.
“Sebagai pengendali pengangkutan awam yang bertanggungjawab, kami menghargai keprihatinan dan pandangan masyarakat. Prasarana akan terus menambah baik proses saringan agar insiden seumpama ini tidak berulang,” kata kenyataan itu lagi.
Prasarana turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas sokongan berterusan terhadap pengangkutan awam di Lembah Klang.-WILAYAHKU