AHLI Parlimen Batu, Yang Berhormat (YB) P Prabakaran terus komited mempertingkatkan taraf hidup rakyat di kawasan tersebut. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam memberi keselesaan serta kemudahan demi kelangsungan hidup masyarakat.
Beliau juga seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sering mendekati penduduk tanpa mengira agama atau bangsa demi memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Walau pelbagai cabaran yang harus diatasi namun perkara tersebut tidak langsung membataskan semangatnya untuk terus berjuang sebagai seorang wakil rakyat.
Ikuti wawancara eksklusif beliau bersama Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor bagi menceritakan detik pahit manis sepanjang berkhidmat.
Apakah antara kejayaan manis yang dilakar YB sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu?
Kalau hendak diceritakan, banyak perubahan yang telah saya dan pasukan lakukan sejak menjadi wakil rakyat antaranya menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Parlimen ini yang mengganggu penduduk.
Kini, masalah tersebut sudah jarang berlaku dan saya bersyukur kerana saya bersama agensi-agensi dapat menyelesaikan isu ini dengan inisiatif membesarkan perparitan dan sebagainya.
Selain itu, saya juga membantu hampir 300 keluarga bagi menyelesaikan isu penghuni di Jinjang yang tidak mendapat kunci rumah lagi. Ia sangat mencabar namun setelah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu, perkara tersebut dapat diselesaikan.
Selepas itu, saya juga turut menyelesaikan isu membantu 27 buah keluarga mendapatkan hak rumah mereka kembali setelah projek perumahan terbengkalai sebelum ini.
Pada saya antara kejayaan yang terbesar ialah memberikan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di Parlimen ini.
Bagaimana YB menghadapi cabaran yang datang dari pelbagai arah semasa memegang tampuk kepimpinan?
Sudah tentu banyak cabaran yang terpaksa saya hadapi, itulah asam garam atau ragam kehidupan, jika tiada cabaran tiadalah kejayaan.
Pada saya sebagai seorang wakil rakyat, cabaran yang paling besar sekali ialah terpaksa berdepan dengan perangai segelintir pihak yang mahu masalahnya diselesaikan kalau hari ini diajukan hari ini juga diselesaikan.
Tidak boleh macam itu, kerana banyak proses yang perlu dilalui namun, itu tugas saya untuk menyampaikan kepada pihak-pihak yang berkaitan.
Selain itu juga di tempat saya, ada cabaran daripada segi dana bantuan. Di sini terdapat kira-kira lapan buah masjid, 72 surau, 34 kuil, 17 tokong serta 10 gereja.
Seramai 113000 penghuni yang terdapat di kawasan Parlimen ini secara tidak langsung ia agak sedikit mencabar namun kita agihkan biar sama rata dan kepada yang benar-benar memerlukan.
Kita tidak abaikan mereka, saya juga mempunyai pasukan yang bergerak mencari golongan-golongan yang memerlukan ini untuk memberi keselesaan buat mereka.
Apakah fokus atau tumpuan YB dalam membangunkan penduduk di kawasan Parlimen Batu?
Kalau bercakap mengenai fokus pembangunan saya suka untuk menceritakan tentang meningkatkan taraf hidup rakyat.
Antaranya kita cuba bantu ekonomi golongan B40 dengan memberi jalan kepada mereka untuk menjana pendapatan sekali gus dapat keluar daripada kemiskinan secara perlahan-lahan.
Kita juga bantu peniaga-peniaga kecil dengan memberi inisiatif seperti mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berwajib, menyediakan gerai atau peralatan dan dana modal.
Ini adalah antara perkara yang telah saya laksanakan bersama agensi-agensi kerajaan di dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat di sini.
Saya juga berharap dalam masa sama dapat membantu untuk mengurangkan jumlah miskin tegar serta miskin bandar yang terdapat di negara.
Bagaimama YB agihkan dana yang diterima kepada penduduk secara sama rata?
Umum sedia maklum, kita sebagai wakil rakyat, ada menerima sejumlah dana daripada Kerajaan Persekutuan dalam membantu membangunkan rakyat.
Kita kembangkan serta agihkan kepada bidang ekonomi, pendidikan, rumah-rumah ibadat, program kemasyarakatan dan sebagainya.
Setiap jumlah tersebut amat besar nilainya kepada penerima dan itu adalah hak mereka demi kelangsungan hidup di masa hadapan juga.
Sebagai wakil rakyat, tugas saya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat semua warga Parlimen Batu baik dari segi infra, ekonomi, kesihatan dan sosial.
Isu kesesakan penduduk serta lalu lintas bukanlah isu baharu terutamanya di Parlimen Batu, bagaimana YB tangani perkara ini?
Iya betul, isu tersebut bukanlah satu isu baharu dan sering kali dilontarkan juga kepada saya.
Saya juga kerap bekerjasama bersama agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu seperti pelebaran jalan, divert jalan malah kalau ada projek-projek baharu juga kita perlu kaji supaya tidak memberi masalah kepada penduduk di kemudian hari.
Namun, perkara-perkara seperti ini mengambil sedikit masa, ia bukan boleh diselesaikan dalam masa terdekat kerana ia melibatkan banyak pihak.
Pelbagai alternatif juga diberi kepada penduduk dan diharap ia juga akan memberi kelesaan kepada warga Parlimen Batu.
Negara sedang menuju ke arah negara menua, bagaimana YB menyediakan masyarakat ke arah negara tua?
Suka untuk saya katakan golongan warga emas di kawasan Parlimen Batu sangat aktif dan penuh dengan pelbagai aktiviti.
Malah, terdapat juga persatuan warga emas yang dibentuk di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) kawasan ini bagi mereka bersama-sama menjalankan aktiviti, bersosial di antara satu sama lain.
Itulah antara nilai murni yang dapat dilihat dan saya bersama pasukan sering mengutamakan mereka di dalam bantuan atau kelengkapan untuk akiviti yang mereka laksanakan.
Apakah harapan YB kepada penduduk kawasan Parlimen Batu?
Sebenarnya besar harapan saya buat penduduk di kawasan Parlimen Batu. Kita sentiasa mahu golongan belia menjadi pemangkin masa hadapan. Saya juga mahu kawasan ini penuh dengan sektor perniagaan oleh peniaga-peniaga tempatan di samping membantu ekonomi negara.
Diharapkan semua pihak memberi kerjasama membantu membangunkan kawasan Parlimen Batu, dengan amanah serta tanggungjawab yang diberi ini, saya akan lakukan yang terbaik demi masa hadapan penduduk di sini. – WILAYAHKU