Berita

PPVIN KLIA khas untuk pekerja di sektor pengangkutan udara

PPVIN KLIA dibuka untuk mempermudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi kepada kira-kira 22,000 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan. Foto- Malaysia Gazette
- Diterbit 5 Julai 2021 12:49 PM MYT

PUSAT pemberian vaksin industri (PPVIN) KLIA membuka pintunya mulai hari ini khusus untuk proses vaksinasi COVID-19 komuniti barisan hadapan sektor pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat di terminal utama KLIA, PPVIN KLIA yang luas dan selesa itu turut menampilkan pemandangan pesawat pelbagai syarikat penerbangan.

Berkongsi pengalaman menerima vaksin COVID-19 di PPVIN KLIA itu, Pengurus Komunikasi Korporat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Kellyn Ching Shu Ann, 41, berkata beliau kini merasa lebih yakin untuk berkerja di lapangan selepas menerima dos pertama vaksin Sinovac itu.

“Saya sangat teruja dapat vaksin ini kerana sudah lama mendaftar sejak Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) dibuka pendaftaran pada Februari lepas. Sebelum ini pun saya pernah cuba mendaftar untuk vaksin AstraZeneca, namun tidak berjaya mendapat slot,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati proses vaksinasi di PPVIN KLIA itu mengambil masa kira-kira 45 minit bagi setiap penerima.

Ching berharap apabila PICK di PPVIN KLIA selesai, ia akan dapat membantu industri penerbangan kembali aktif, yang ketika ini agak lembap berikutan pelbagai sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.

“Saya harap selepas ini penumpang merasa lebih yakin untuk ‘bergerak’. Kami (MAHB) akan melakukan apa sahaja yang termampu bagi meyokong pembukaan semula sempadan negara,”

Jurutera Eksekutif KLIA Aerotrain Muhammad Amri Bahri Sunif, 29, pula berkata beliau mahu divaksin kerana memikul rasa tanggungjawab untuk melindungi orang terdekat seperti keluarga dan rakan sekerja daripada dijangkiti COVID-19.

“Saya perlu bekerja di lapangan sepanjang masa, sejak Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 tahun lepas pun saya bekerja, jadi ini mendedahkan saya kepada risiko dijangkiti COVID-19 dan berpotensi menjadi penyebar jangkitan ini kepada orang terdekat,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata PPVIN KLIA dibuka untuk mempermudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi kepada kira-kira 22,000 pekerja sektor penerbangan serta yang berkaitan di KLIA.

Melalui program itu, MAHB bekerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Bhd, Malindo Air, syarikat pengendalian darat AeroDarat, syarikat penerbangan asing yang diwakili oleh Airline Operators Committee (AOC) dan pekerja kargo yang diselaraskan oleh Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM), untuk memberikan vaksin kepada pekerja sektor berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Wee berkata bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

Di samping itu, katanya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyelaras program vaksinasi untuk pemandu teksi serta e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

“Program ini akan dilaksanakan di bawah pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas