Berita

PPV masjid: Ruang solat tidak boleh jadi tempat suntik vaksin

TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata PPV masjid hanya boleh dibuka sekiranya kemudahan di masjid tersebut bersesuaian. Gunakan kemudahan yang ada seperti bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 28 Jun 2021 4:13 AM MYT

RUANG solat di dalam masjid tidak boleh dijadikan sebagai tempat suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di mana-mana masjid, mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan.

“Antara SOP yang ditetapkan ialah tidak boleh menjadikan ruangan solat di dalam masjid sebagai tempat suntikan. PPV masjid hanya boleh dibuka sekiranya kemudahan di masjid tersebut bersesuaian. Gunakan kemudahan yang ada seperti bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid.

“Jika masjid yang mahu digunakan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai, ia sepatutnya tidak boleh dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, masalah PPV masjid berbangkit setelah ada negeri yang telah memulakan program ‘outreach’ di masjid, tanpa merujuk SOP yang ditetapkan CITF.

“Lalu tersebar gambar ruang solat digunakan untuk tempat suntikan. Malah ada masjid yang gunakan ia sebagai ruang menunggu, dengan disusun kerusi.

“Sebaik menerima maklumat ini, saya telah menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan, memaklumkan supaya diambil langkah pembaikan untuk mengelakkan gambaran negatif, yang merosakkan usaha murni ini,” katanya.

Katanya, beliau sendiri telah turun padang memberikan teguran dan pegawai kesihatan memberi alasan, penggunaan ruang solat itu disebabkan tidak ada ruang lain yang sesuai dan lapang, untuk dijadikan tempat suntikan di masjid berkenaan.

“Saya maklumkan alasan itu tidak boleh diterima. Kita bukan minta setiap masjid buka (dan djadikan) PPV. Kita ada lebih banyak lagi jenis PPV lain yang boleh dibuka seperti dewan orang ramai, balai raya dan klinik kesihatan,” katanya yang telah mengarahkan supaya kesilapan yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas