Berita

PPPMM agih sumbangan untuk petugas tiga hospital

PENASIHAT PPPMM, Muhammed Farhan Basheer di penyerahan sumbangan kepada Dr Kuldip Prem Singh di Hospital Sungai Buloh semalam. PENASIHAT PPPMM, Muhammed Farhan Basheer di penyerahan sumbangan kepada Dr Kuldip Prem Singh di Hospital Sungai Buloh semalam.
- Diterbit 25 Jun 2021 6:57 AM MYT

PERSATUAN Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), menyerahkan lebih 22,000 botol air mineral dan 3,000 buku roti sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan di tiga hospital semalam.

Sumbangan itu adalah sebagai alas perut buat petugas barisan hadapan yang di tiga hospital berkenaan.

Penasihat PPPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata tiga hospital menerima sumbangan itu iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Kuala Lumpur.

“Kita tahu ada petugas yang kadangkala tak sempat mengalas perut dan diharapkan sumbangan kecil kami ini dapat dimanfaatkan petugas kerana ia mudah dimakan.

“Usaha seumpama ini kami laksanakan secara berterusan kerana memahami beban petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu negara mengendalikan pesakit COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Prem Singh yang meluangkan masa untuk menerima sumbangan kecil dari PPPMM itu.

Turut hadir, Presiden PPPMM, Rokiah Hassan dan ahli jawatankuasa persatuan itu.

PPPMM melibatkan kira-kira 70 keanggotaan yang terdiri daripada usahawan Melayu yang menjalankan perniagaan percetakan di seluruh negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas