PERBADANAN Putrajaya (PPj) meraikan pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) di Dewan Seri Siantan, Kompleks PPj baru-baru ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Korporat, TPr Norzita Abdul Razak, empat buah pertandingan yang melibatkan komuniti dan warga Putrajaya tersebut mendapat penyertaan yang luar biasa daripada segenap lapisan umur.
“Penganjuran pertandingan ini diharapkan dapat memupuk dan menyemai semangat cintakan Wilayah Persekutuan dalam kalangan komuniti dan warga Putrajaya.
“Antara pertandingan yang dianjurkan baru-baru ini ialah Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Kategori A – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya, Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Kategori B – Persatuan Penduduk, Pertandingan Video TikTok bertemakan ‘Putrajaya Our City Our Home’ dan Pertandingan Melukis Doodle@Wilayah 2022,” ujar beliau.
Pertandingan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan berjaya menarik enam sub zon MPPWP yang melibatkan 12 kawasan bagi pertandingan Kategori A dan 21 Persatuan Penduduk Putrajaya bagi pertandingan Kategori B.
“Juara pertandingan bagi Kategori A membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, manakala naib juara pula RM2,500 diikuti tempat ketiga sebanyak RM2,000 selain tempat keempat, kelima dan keenam membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan RM800 serta saguhati, RM500.
“Juara pertandingan bagi Kategori B pula menerima wang tunai bernilai RM1,300, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM800, tempat keempat, RM600, tempat kelima dan keenam RM500 dan RM400 selain 15 pemenang saguhati membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,” ujar Norzita.
Manakala bagi kategori terbuka (19 tahun ke atas), juara membawa pulang wang tunai bernilai RM400, sementara naib juara RM300 dan tempat ketiga RM200.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi pertandingan Video TikTok bertemakan ‘Putrajaya Our City Our Home’ yang telah diadakan pada 15 Januari sehingga 15 Februari dengan jumlah penyertaan seramai 21 orang. Para pemenang bagi pertandingan ini membawa pulang sebuah telefon pintar dan pemenang saguhati membawa pulang jam tangan pintar.
Pada masa yang sama, turut disampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan Melukis Doodle@Wilayah 2022 yang disertai seramai 34 orang kanak-kanak dan remaja berumur tujuh sehingga 17 tahun. Pertandingan yang bertemakan Kemakmuran dan Kesejahteraan Warga Wilayah Persekutuan menawarkan wang tunai keseluruhan sebanyak RM1,200 kepada para pemenang.
Terdahulu, majlis penyampaian disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud diiringi Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Rosli Talib. – WILAYAHKU