BERSEMPENA Tahun Melawat Malaysia 2026, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyertai Misi Jualan Pakej Pelancongan anjuran Tourism Malaysia yang diadakan di tiga buah bandar utama Oceania iaitu Auckland, New Zealand, Sydney serta Melbourne, Australia.
Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata mereka mengambil bahagian dalam sesi Business to Business (B2B), taklimat destinasi dan makan malam rangkaian sepanjang misi jualan di sekitar tiga bandar utama tersebut.
“Misi jualan dimulakan dengan sesi B2B bersama 68 pemain industri bertempat di Movenpick Hotel Auckland, New Zealand di mana reruai PPj menjadi tumpuan bagi pemain industri yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang pakej-pakej pelancongan yang terdapat di Putrajaya.
“Lokasi seterusnya adalah di Sheraton Grand Hotel Sydney, Australia dengan penglibatan seramai 100 orang terdiri daripada syarikat pengusaha pelancongan Australia yang menyatakan minat untuk jaringan kerjasama pelancongan ke Putrajaya,” kata beliau menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.
Tambah beliau, program tersebut diadakan selama empat hari bermula 28 sehingga 31 Ogos 2023 lalu di mana lokasi misi jualan yang terakhir diadakan di Hotel The Langham, Melbourne, Australia.
“Selain sesi B2B, delegasi PPj turut dijemput untuk menyertai acara Malaysia Breakfast Day sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 anjuran Jeneral Konsulat Malaysia di Melbourne,” ujar beliau selain PPj, delegasi mereka diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof selain pengendali pelancongan Malaysia, pengusaha hotel, badan pelancongan negeri dan pemain industri pelancongan perubatan.
Fadlun berkata antara tujuan siri jelajah tersebut adalah untuk menarik lebih ramai pelancong dari Australia selain mewujudkan perkongsian yang berpotensi untuk mengukuhkan rangkaian dalam kalangan pemain industri.
“Program tersebut turut mengetengahkan produk ekopelancongan terbaharu Malaysia termasuk lapan geopark negara, pelancongan berasaskan komuniti, produk khusus seperti berbasikal dan segmen khas seperti pelancongan perubatan,” kata beliau New Zealand dan Australia adalah antara sasaran pasaran jarak jauh yang berpotensi meningkatkan statistik kemasukan pelancong ke Putrajaya khususnya.
Fadlun berkata pada 2022, Malaysia mengalu-alukan ketibaan 18,238 pelancong dari New Zealand.
“Pada masa ini terdapat lapan penerbangan terus secara mingguan dari Auckland ke Malaysia melalui Malaysia Airline. Batik Air juga baru-baru ini melancarkan penerbangan sulungnya dari Auckland ke Malaysia melalui Perth yang kini menawarkan enam penerbangan terus mingguan.
“Manakala bagi Australia, Malaysia mencatatkan seramai 152,265 ketibaan pelancong pada tahun 2022 di mana ketika ini terdapat sebanyak 234 penerbangan terus secara mingguan dari Australia ke Malaysia melalui Malaysia Airlines, Air Asia X dan Batik Air,” ujar beliau.
Terdahulu, PPj membawa misi untuk memperkenalkan Putrajaya sebagai destinasi wajib lawat di samping turut memperkenalkan produk pelancongannya seperti Wetland Studios Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya, Putrajaya Story, Souq Shoppe, taman-taman awam, hotel-hotel Putrajaya dan kebun komuniti. – WILAYAHKU

