PERBADANAN Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd mengumumkan pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) baharu di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP).
Terletak di tempat letak kereta berhampiran Ekues Cabin Cafe, stesen pengecasan ini menyediakan kuasa CA sehingga 7kW yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna EV di kawasan tersebut.
Stesen pengecasan EV telah dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, Haikal Zubir.
Menurut Fadlun, inisiatif ini adalah sebahagian daripada rancangan lebih luas PPj untuk memasang 500 unit pengecasan EV di Putrajaya menjelang 2030, sebagai sokongan kepada aspirasi Putrajaya untuk menjadi bandar rendah karbon.
“Lokasi strategik yang telah dikenal pasti untuk stesen pengecasan pada masa hadapan termasuk di Laman Perdana, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral dan Kelab Tasik Putrajaya.
“Semasa mengecas, pengguna boleh menggunakan fasiliti yang tersedia di Taman Ekuestrian Putrajaya dengan menyertai aktiviti menunggang kuda atau menikmati hidangan dan minuman yang lazat di Ekues Cabin Cafe.
“Kerjasama kami dengan Gentari adalah satu lagi contoh bagaimana Putrajaya bekerjasama dengan pemain tenaga global untuk membangunkan kemudahan EV terkini untuk komuniti dan pengunjung di Putrajaya.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan kemudahan terbaharu ini di Putrajaya melalui kerjasama dengan sektor swasta yang sama-sama komited untuk mempercepatkan peralihan bandar Putrajaya ke arah masa depan yang mampan,” katanya semasa Majlis Pelancaran Stesen Pengecas EV hari ini.
Orang ramai juga boleh mengguna kemudahan ini dengan mudah dan lancar sebagai satu platform tenaga bersih ‘Gentari Go’ yang menawarkan gaya hidup baharu kepada pelanggan melalui platform ini terus kepada pengguna. – WILAYAHKU