WARGA Putrajaya dialualukan untuk menyertai pelbagai program dan pengisian menarik bercirikan Islamik yang dianjurkan Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Perbadanan Putrajaya (PPj) sepanjang Ramadan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti Dan Sukan, Siti Fadilah Ramli, program-program tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk melipatgandakan amalan ibadah, mendalami ilmu berkaitan ibadah puasa serta menzahirkan keprihatinan dan perasaan empati terhadap kesusahan yang dialami oleh insan lain terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Kita mulakan Program Forum Ambang Ramadan pada Jumaat lalu dan berjaya mengumpulkan orang ramai bukan sahaja warga PPj malah komuniti Putrajaya dari segenap lapisan umur.
“Selain itu, antara program yang akan diadakan adalah Program Pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat akhir yang akan berlangsung pada 14 April yang mana peringkat saringan akan diadakan selama dua hari pada hujung minggu ini ekoran penyertaan sehingga 160 orang.
“Selain itu, PPj juga akan mengadakan Minggu Infaq Putrajaya yang bermula 9 hingga 18 April bertempat di Dataran Putrajaya yang mana hasil daripada program tersebut akan dihulurkan kepada golongan memerlukan bersempena Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri@B40 Putrajaya pada 26 April akan datang,” ujarnya.
Bagi golongan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas pula, mereka yang berminat dijemput menyertai Program Kuiz Ramadan Kareem@Putrajaya yang bermula pada 5 April.
“Mereka diminta untuk mengumpul 30 soalan kuiz di Facebook Perbadanan Putrajaya dan hantarkan kepada pihak PPj,” ujarnya yang turut merangka Program Nur Ramadan di mana menfokuskan sumbangan kepada asnaf.
Tambahnya lagi, pada 16 April akan datang, terdapat juga Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya selain Program Tadarus Khatam AlQuran@MPPWP Putrajaya iaitu pada 23 dan 24 April.
Mengulas tentang prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial yang telah dilonggarkan pada 1 April lalu, Siti Fadilah berkata, sambutan yang diterima pada Program Forum Ambang Ramadan amat menggalakkan.
“Sebelum ini, kita mengehadkan tetamu untuk hadir ke program sebegini kepada 300 orang tetapi setelah pematuhan SOP dilonggarkan, kita menerima jumlah yang lebih daripada itu. Mereka sangat teruja dan berpuas hati kerana program yang diadakan kali ini dilaksanakan secara fizikal, sebelum ini mereka hanya dapat menonton secara atas talian di Facebook PPj,” ujarnya lagi.